7,000 Banjiri Konsert Sheila On 7, Ini Momen-Momen Yang Tidak Boleh Dilupakan Malam Tadi

Amri Hassan
Februari 11, 2018 04:56 MYT
Selepas dua tahun, band popular Indonesia Sheila On 7 kembali menggamatkan pentas Starxpo Centre, Kenanga Fashion Mall, Kuala Lumpur malam tadi.
Konsert Sheila On 7 - Live In Kuala Lumpur itu dibanjiri oleh lebih 7,000 penonton.
Mengotakan janji mereka, Sheila On 7 membuai peminat dengan untaian lagu malar segar seperti Itu Aku, Dan, Sephia, Melompat Lebih Tinggi dan Berhenti Berharap.
Harapan peminat untuk melihat keletah bersahaja vokalis Sheila On 7, Duta terubat. Duta menghiburkan peminat Malaysia dengan pelbagai aksi hipster viral masa kini antaranya 'dab'.
Yang pasti, Sheila On 7 mengubat kerinduan peminatnya yang sudah 22 tahun setia bersama band kelahiran Jogjakarta itu.
Kami kongsikan beberapa momen menarik yang berlaku sepanjang konsert tersebut.
1. Peminat sudah membanjiri perkarangan Starxpo Centre Kenanga Fashion Mall untuk menyaksikan Konsert Sheila On 7 - Live In Kuala Lumpur seawal pukul 6 petang lagi.
2. Hujan lebat memaksa keadaan trafik di luar premis tersebut sesak teruk.
3. Penonton beratur beberapa ratus meter di sekeliling ruang parkir tingkat 13A untuk menuju ke pagar masuk konsert.
4. Oleh kerana masalah terbabit, konsert dimulakan agak lewat sekitar 9.15 malam.
5. Penyanyi baru Natasha membuka pentas konsert menerusi tiga buah lagu Never Enough, Menghitung Hari dan Repeat.
6. Penonton menjerit sekuat hati apabila Sheila On 7 mula mengambil tempat di pentas.
7. Sheila On 7 mempersembahkan lebih 15 buah lagu termasuk lagu terbaharu mereka, Film Favorit.
8. Usai konsert, penonton terpaksa berjalan menuruni tangga ke bahagian parkir memandangkan lif hanya dikhaskan untuk penonton VIP.
9. Jalan kembali sesak apabila penonton berpusu-pusu pulang ke kediaman seleppas konsert.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: Instagram
#Konsert #Sheila On 7 #Indonesia #Konsert