“7 Bulan Tiada Tawaran Nyanyian” - Syura Gigih Cari Rezeki Demi Anak

Kamaruddin Razal
Oktober 31, 2017 00:30 MYT
Bintang GegarVaganza 4 (GV4), Syura Badron mendedahkan dirinya pernah menempuhi fasa sukar sebagai seorang penyanyi.
Sudah bertapak selama 16 tahun dalam dunia hiburan, Syura berusaha gigih dan menjadikan anak-anaknya sebagai sumber kekuatan.
“Pernah saya melalui fasa sukar dalam dunia nyanyian. Satu ketika dahulu, hampir tujuh bulan saya tidak menerima sebarang tawaran nyanyian. Namun begitu, rezeki itu tetap ada tetapi di bidang lain.
“Alhamdulillah, kebolehan memasak, pengalaman di Masterchef Selebriti dan ilmu dalam bidang kulinari yang saya pelajari di UNITAR dahulu tidak saya persiakan. Saya pula tidak boleh duduk diam sekiranya tiada tawaran nyanyian.
“Saya melibatkan diri dalam perniagaan makanan yang saya usahakan sendiri iaitu Bekal Mak Kita. Saya tidak akan putus semangat kerana anak-anak merupakan sumber kekuatan saya,” kata Syura.
Memegang status ibu tunggal kepada Nurul Dania Irdani, 10; Nurul Qaisara Sofia, 8 dan Muhammad Irfan Aryan, 6, Syura sangat berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyertai GV4.
“Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami keadaan saya dan itu membuatkan saya rasa sangat bersyukur. Saya sangat berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menyertai GV4.
“Saya mahu jadikan GV4 ini sebagai batu loncatan untuk mencari rezeki demi anak-anak. Selain itu, saya juga mahu mengubati kerinduan untuk beraksi sebagai penyanyi.
“Jika sebelum ini, saya dikenali sebagai penyanyi yang sinonim dengan lagu Irama Malaysia, saya mahu mengubah persepsi itu. Saya mahu menjadi penyanyi serba boleh,” katanya lagi.
GV4 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Saksikan juga Kapsul Gegar Vaganza yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 10.55 malam.
Jika anda terlepas menonton konsert minggu pertama GV4 atau ingin menonton secara 'live streaming', klik ---> GegarVaganza
Dapatkan perkembangan terkini tentang GV4 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gegarvaganza.com.my.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @syurabadron
#GV4 #GegarVaganza 4 #Syura Badron