Laman Utama
71 Pelajar & 2 Guru Dari Sebuah Sekolah Positif COVID 19
Menjelang beberapa minggu cuti hujung tahun 2021 bermula, negara dikejutkan dengan berita mengenai 71 pelajar dan dua orang guru di Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya dikesan positif COVID-19.
Berita tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ yang memberi informasi menerusi ciapan dalam laman sosial Twitternya sekitar pukul 10 pagi tadi.
Menerusi ciapan tersebut, KJ memberikan pecahan terhadap kes yang terjadi di sekolah tersebut.
Menurutnya, ujian saringan telah dijalankan terhadap 451 individu termasuk pelajar, guru dan petugas sekolah berkenaan.
Daripada jumlah tersebut seramai 13 guru, 1 petugas dan 437 pelajar telah disaring.
Keputusan kemudian menunjukkan 73 dikesan positif yang membabitkan dua orang guru dan 71 pelajar.
KJ turut memaklumkan kesemua yang disaring telah melengkapkan vaksin, kecuali empat daripadanya (guru dan murid).
"Kesemua pelajar telah dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
"Mereka berada dalam kategori 1 dan 2A serta berada dalam keadaan stabil.
"Manakala 242 individu yang merupakan kontak rapat sedang dikuarantin di asrama SSP," katanya melalui ciapan di Twitter yang sama.
Sementara itu menurut Awani, Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, KKM akan terus memantau kesihatan pesakit dan memberikan rawatan terbaik kepada mereka yang terlibat.
Pada Rabu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengesahkan 65 pelajar SSP dikesan positif COVID-19 selepas seorang guru disahkan dijangkiti virus itu.
Kredit Foto: Awani