8 Tahun Kahwin, Baru Dua Kali Johan Bagi Saya Bunga - Ozlynn

Syafiqah Jalal
Mei 17, 2017 06:31 MYT
Selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, tahun ini menjadi tahun pertama Johan menghadiahkan Ozlynn jambangan bunga.
Dedah Ozlynn, Johan ada sebab tersendiri mengapa dia tidak pernah menghadiahkannya bunga sepanjang mereka berkahwin.
"Banyak kali juga saya tanya kenapa dia tak mahu menghadiahkan saya bunga tetapi dia menjawab ada banyak lagi perkara yang lebih penting untuk diberikan selain bunga.
"Katanya bunga tidak kekal lama, esok lusa kalau bunga sudah mati saya pun akan buang.
"Sekurang-kurangnya dia berikan kasih sayang yang tidak semua mampu beri," kongsi Ozlynn yang ditemui pada acara pertunjukan fesyen Emms & Verxa di Publika baru-baru ini.
Kali pertama Johan menghadiahkan Ozlynn sejambak bunga mawar adalah pada dua minggu lalu sebelum dia berangkat ke Australia untuk menjalani penggambaran sebuah program masakan.
Kali kedua Johan menghadiahkan Ozlynn sejambak bunga ketika acara pertunjukan fesyen Emms & Verxa minggu lalu di Publika.
"Selepas kami menukar duit, Johan tiba-tiba menghulurkan sejambak bunga kepada saya.
"Katanya dia sengaja mahu hadiahkan saya bunga selain mahu membantu peniaga kecil," katanya.
Ozlynn dilantik sebagai duta kepada jenama fesyen Emms & Verxa sempena kempen raya tahun ini.
"Ini kali pertama saya terlibat dengan kolaborasi dengan jenama fesyen, memang saya seorang selektif tetapi Emms & Verxa menarik minat saya dengan koleksi Aidilfitri yang ringkas dan klasik," katanya.
Ozlynn baru selesai menjalani penggambaran telefilem raya Terbalik Raya bersama Johan, Sherry Alhadad, Zulin Aziz dan Marsha Milan.
Teks oleh: Amri Hassan
#Johan #Ozlynz