Bintang Big Stage 2022, Danial Chuer mendedahkan kedua ibu bapanya memainkan peranan penting dalam pemilihan lagu yang akan dipersembakan di konsert tersebut setiap minggu.

Tambah Danial atau nama sebenarnya Danial Chuer Hamasiah, 30, sepanjang berada di pertandingan Big Stage, lagu-lagu yang dipersembahkan dipilih oleh ibu bapanya memandangkan mereka tahu kekuatannya di mana.

“Memang 80 peratus daripada pemilihan lagu-lagu saya setiap minggu datang daripada ibu bapa dan keluarga saya.

“Saya beri kepercayaan kepada keluarga sebab diorang dah tengok saya menyanyi daripada umur empat tahun dan mereka tahu apa yang sesuai dan tak sesuai dengan saya.

“Cuma minggu suku akhir, baru lagu Noraniza Idris ni adalah pilihan saya sendiri. Awalnya ibu bapa saya susah hati saya dapat lagu Hatinya Tak Tahan tapi saya yakinkan mereka, jangan risau. Mereka juga banyak berikan bantuan untuk minta saya fokus secara visual dan vokal,” jelas Danial kepada Gempak.

Danial ditemui seusai konsert suku akhir Big Stage 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Pada konsert yang bertemakan Rotasi 36T itu menyaksikan Syafiq Abdillah dan Megat Rahim tersingkir.

Terdahulu, Danial pernah membawakan lagu Gila, Dialah Di Hati. Belum Siap Kehilangan dan Cuba.

Tambah anak kelahiran Tawau itu lagi, ibu bapanya sangat menitikberatkan soal disiplin ahli keluarga dan sangat memberikan motivasi pada dirinya.

“Ibu bapa juga ada satu habit yang diorang akan berpesan, persembahan minggu ni dah habis kan, wake up! Dah. Tak payah tengok apa-apa video dah. Isnin hari baru, fokus pada lagu yang minggu tu, jangan ingat langsung persembahan minggu lepas.

“Kedua ibu bapa saya memang berdisplin bila melibatkan perkara-perkara macam ni,” ujarnya.

Penerbitan Big Stage 2022 disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.

Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Selain Danial, 5 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Aisha Retno, Yazmin Aziz, Elica Paujin, Tegar Septian dan Ajoi Zainal.

Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).