Sepanjang bulan Ramadan ini, pastinya anda inginkan sesuatu yang menarik dan menghiburkan untuk dijadikan bahan ditonton. Justeru, Astro membawakan pelbagai program menarik, khusus untuk penonton di rumah.

Dari program memasak hingga jelajah, variasi rancangan-rancangan ini pastinya bakal memberikan input menarik untuk anda sepanjang bulan puasa. Jom semak!

Keletang Kelentung Pom Pom
Isnin hingga Khamis, bermula 3 April 2022, 6.30 petang di Astro Ria
Kak Lina Pom Pom ditemani selebriti jemputan melawat destinasi makanan viral tempatan untuk memasak hidangan istimewa rumah untuk berbuka puasa. Program ini akan mempamerkan sisi berbeza selebriti jemputan melalui gurauan nakal dengan pengacara, tugasan memasak yang mencabar dan masakan luar, serta sesi mukbang & ASMR yang berdedikasi.


Tapao
Setiap Isnin, bermula 3 April 2022, 9 malam di Astro Ria
Apabila kita bercakap tentang rancangan mencari makanan (food hunting show) kita hanya dapat melihat hidangan yang telah disediakan dengan persembahan terbaik untuk para pengulas makanan. Adakah ianya akan menjadi sama hebat apabila dipesan untuk bawa pulang? Rancangan Tapao mencari jawapan kepada soalan tersebut.

Geng Ngaji Musim 3
Isnin hingga Ahad, bermula 3 April 2022, 5.30 petang di Astro Oasis
Mengaji dan membaca Al-Quran dengan cara interaktif melalui panggilan telefon bersama penonton di rumah. Pelbagai lagi kandungan dan aktiviti menarik yang akan ditayangkan bagi penonton mendapatkan ilmu pengetahuan dan berpeluang untuk bermesra bersama tetamu jemputan di studio.

Rockstar ke Masjid
Setiap Selasa, bermula 5 April 2022, 7.30 malam di Astro Oasis
Rockstar ke Masjid merupakan sebuah rancangan travelog yang membawa para penonton menjelajah ke masjid masjid unik yang terdapat di Malaysia, di samping melihat rockstar-rockstar kita melakukan street dakwah dan mengumpul dana sebagai sumbangan kepada masjid masjid yang memerlukan.


Kembara Chef Wan
Setiap Rabu, bermula 6 April 2022, 7.30 malam di Astro Oasis
Chef Wan menerokai dunia makanan, budaya dan warisan melalui pengembaraannya ke negara-negara Timur Tengah. Sepanjang pengembaraan, beliau akan berkongsi dengan penonton bagaimana impian dan pengalamannya dalam hidup yang mengubahnya dirinya. Bagi beliau, makanan bukan sahaja untuk dijamah, malah makanan adalah cinta dan kasih sayang yang perlu kita kongsikan.

Tazkirah Malam Jumaat Musim 6
Setiap Khamis, 9 malam di Astro Oasis
Setiap episod, penghuraian akan dibuat berdasarkan dari satu soalan yang menjurus kepada persoalan-persoalan dari sudut dakwah, akidah dan tauhid.

Panggung Memori
Setiap Rabu, bermula 6 April 2022, 9 malam di Astro Warna
Kembali dengan musim terbaharu, Panggung Memori bakal membongkar kisah silam dan peristiwa menarik yang pernah berlaku dalam kehidupan selebriti. Persoalannya, adakah mereka dapat mengingati semua kejadian yang berlaku atau ia hanya cerita rekaan semata-mata? Dihoskan oleh Datuk Aznil, saksikan kemunculan selebriti seperti Mark Adam​, Sharifah Shahira​, Bell Ngasri​ & Ropie​.


Lu Pikir La Nabil
Setiap Khamis, bermula 7 April 2022, 10 malam di Astro Warna
Bermulanya Ramadan, Nabil diuji dengan masalah sehingga menggugat persahabatan dengan kawan-kawannya, dan ditambah pula dengan gelagat orang kampung dan kehadiran budak baharu yang mengakibatkan kekecohan berlaku di Hari Raya Aidilfitri.

Rasa Nostalgia Ramadan 4 : Balik Kampung
Isnin hingga Jumaat, 7 malam di Astro Prima
Rancangan memasak dan travelogue ini menampilkan perjalanan hos bersama selebriti jemputan untuk bukan sahaja memasak makanan nostalgia mereka, malah penonton menyajikan penonton dengan perkongsian kisah selebriti yang menarik sepanjang Ramadan di kampung halaman.