Pelakon Rozita Che Wan terkejut melihat anaknya, Aaisyah Dhia Rana sudah pandai mengenakan bulu mata palsu pada bulu matanya.

Rozita atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta juga tidak menyedari apabila anaknya secara senyap-senyap mengambil bulu mata palsu miliknya dan memasangnya sendiri.

“Saya tengah main phone waktu tu, tiba-tiba Aaisyah datang pada saya dengan lengkap berbulu mata dan tanya, “mommy, macam Rozita Che Wan tak?

“Bila tengok gaya dia macam tu, saya terkejut betul. Sempat saya suruh dia duduk diam sebab nak ambil video,” katanya kepada Gempak.



Che Ta dan Aaisyah ditemui selepas membuat penampilan khas bersempena sambutan Hari Merdeka Habib bertempat di Suria KLCC pada Selasa.

Beberapa hari lepas, Che Ta terlebih dahulu memuat naik video Aaisyah berbulu mata palsu di akaun rasmi anaknya itu.

Penampilan comel Aaisyah ternyata mengundang pelbagai reaksi netizen apabila ada yang memuji wajahnya yang mirip anak patung.

Malah, ada juga netizen yang tidak bersetuju apabila kanak-kanak didedahkan dengan pemakaian bulu mata palsu.



“Saya tak pernah menggalakkan Aaisyah pakai sebarang alat solek tapi dia sendiri yang nak.

“Bulu mata tu dah bergam, jadi dia ambil dan terus lekatkan pada bulu matanya. Tu yang nampak macam lekat tak lekat tu,” ujar Che Ta lagi.

Selain Aaisyah, Che Ta turut mempunyai dua anak lelaki iaitu Ammar Affendy dan Aniq Ezzra hasil perkahwinan pertamanya.