Penyanyi Aina Abdul memberitahu bahawa dia terkenangkan momen tragik pemergian arwah ayahnya sewaktu membuat persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari.

Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 27, berkata, dia terimbas momen 12 tahun lalu apabila arwah bapanya menghembuskan nafas terakhir pada hari dia mengikuti sebuah pertandingan nyanyian.

"Pemergian abah sangat tragik, susah untuk saya lupakan. Ketika itu saya berumur 15 tahun. Saya masih ingat lagi abah tunggu dalam kereta sehingga saya selesai menyanyi ketika menyertai sebuah pertandingan.

"Tapi saya tak tunggu sehingga keputusan pun, saya bergegas ke kereta apabila abah mengalami sesak nafas. Ibu saya memecut laju kereta untuk ke hospital. Namun, abah menghembuskan nafas akhir atas pangkuan riba saya," katanya ketika dihubungi Gempak.

Menurut Aina lagi, arwah bapanya pergi meninggalkan mereka sekeluarga pada usia 55 tahun.

"Abah memang ada sakit kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. Arwah abah juga sudah potong kaki sebelum dia pergi. Bagi saya agak muda untuk dia pergi pada masa itu," ceritanya.

Terdahulu, Aina turut berkongsi pengalamannya itu menerusi satu entri di Instagram.

Just wanna share what else was on my mind moments before Aina hit my first note and end my last note. And that is My Abah. I lost my father bila aina berumur 15 tahun. Abah hembuskan nafas akhir dalam pangkuan Aina while mak Aina pecut drive to nearby hospital. I'll never forget that day.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul) on


Katanya, dia terbayangkan arwah bapanya sewaktu membuat persembahan ketika bertanding di pentas AJL pada Ahad lalu kerana sukar melupakan momen tersebut.

"Saya cuma nak kongsikan apa yang menerpa di fikiran saya sebelum saya melontarkan nota pertama dan nota terakhir saya, iaitu abah saya," tulisnya.

Pada malam itu Aina membuat kemunculan pertama di pentas AJL menyampaikan lagu Sumpah yang merupakan karya ciptaan sepenuh dirinya.