Sukan
Abang Botak Kini Pengacara Astro Arena
Nafis Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abang Botak di YouTube kini bergiat sebagai pengacara sukan di Astro Arena sejak lima bulan lalu.
Menurut Nafis, dia menganggap peluang untuk mengacara di saluran sukan itu sebagai kurniaan rezeki dari Tuhan.
"Saya hanya mulakan secara suka-suka bercakap tentang bola sepak di YouTube sejak tahun 2018.
"Mengenai perjalanan saya yang menjadi pengacara di Astro Arena sekarang, saya sifatkannya sebagai satu rezeki dari Tuhan.
"Saya tempuh macam-macam selama dua tahun dan akhirnya pihak Astro Arena memberi tawaran untuk saya berkhidmat sebagai pengacara sukan," ujarnya.
Nafis berkata demikian ketika ditemu bual di pejabat urusan Astro Arena, Petaling Jaya petang semalam.
Selain mencipta pesona di YouTube, Nafis juga bekerja sebagai penyunting di stadiumastro.com sejak tahun 2017 sehingga kini.
Bercakap mengenai komitmen mengendalikan dua tugas pada satu masa, Nafis akui merancang untuk berehat daripada kerja belakang tabir.
"Dengan komitmen yang semakin bertambah sekarang, suatu hari nanti mungkin saya akan berehat daripada kerja menulis kerana saya tak boleh lakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa, ia boleh mendatangkan masalah dan memberi kesan kurang baik kepada sesetengah pihak.
"Jadi, saya memang merancang untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang pengacaraan sahaja tidak lama lagi," katanya lagi.
Anda boleh menyaksikan Nafis dalam rancangannya, Borak-Borak Botak yang disiarkan di YouTube Astro Arena.
Nafis juga telah melibatkan diri dalam program Bola@Mamak dan Formasi di Astro Arena.
Antara penglibatan dalam penulisannya menerusi stadiumastro.com sebelum ini adalah mengenai Sukan SEA 2017, Piala Dunia 2018, Sukan Komanwel 2018 dan Sukan Asia 2018.