Belum pun sembuh luka kehilangan penyanyi Siti Sarah Raissuddin, kini abangnya. Ahmad Firdous pula disahkan positif virus COVID-19.

Menurut Shuib, abang iparnya itu sedang dirawat di Hospital Serdang, Selangor.

Lebih membimbangkan apabila paras oksigen dalam badannya menurun.

"Bila saya dapat tahu tahap oksigen dia, saya terus pergi ke hospital. Saya dah jadi fobia.

"Abang ipar saya sekarang berada di Hospital Serdang. Ini hari kelapan dia kuarantin. Tahap oksigen dia drop tapi alhamdulillah stabil.

"Saya mohon orang ramai doakan kesembuhan dia. Tolong doakan abang ipar saya terus kuat," katanya selepas majlis tahlil Allahyarhamah Siti Sarah sebentar tadi.

Dalam pada itu, Shuib berkongsi rasa gembira dan teruja apabila bakal bertemu permata hati bongsunya, Ayash Affan pada Rabu.

"Saya tak sabar nak jumpa, nak pegang dia.. tapi dalam masa yang sama saya sangat sedih sebab ibu dia tak sempat jumpa dia.

"Dia (Siti Sarah) gadaikan nyawa dia untuk selamatkan anak kami," ujarnya.

Allahyarhamah Siti Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki mereka melalui pembedahan tanpa sedar kira-kira pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat pandemik COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin.

Siti Sarah sekeluarga disahkan positif Covid-19 sejak 25 Julai lalu selepas mereka menjalani ujian saringan apabila pembantu rumah disahkan positif wabak itu.

Siti Sarah dan Shuib berkahwin pada 2011 dan mendapat tiga cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.