Terus menggotakan janjinya dengan tagline ‘Di mana ada banjir di situ ada saya’, Azwan Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Viva kini berada di Kampung Iboi, Baling, Kedah.

Kampung Iboi adalah salah satu kawasan yang terjejas terus selepas dilanda kepala air dan banjir yang terjadi pada petang Isnin.

Sebaik mengetahui berita tersebut, Azwan dengan niat murni bertolak dari Melaka menuju Baling sekitar pukul 11 malam tadi dan tiba di Kampung Iboi sekitar 5.30 pagi tadi.

Bercakap kepada Gempak, niat melakukan misi menyelamat bagaimanapun dibatalkan memandangkan banyak kawasan dengan air sudah mulai surut.

“Niat asal dari Melaka memang nak bantu keluarkan mangsa banjir. Namun perjalanan memakan masa lebih lima jam ke kampung ini. Apabila kami sampai pagi tadi, air sudah mula surut.

“Tapi arus sangat deras dan kerosakan terjadi juga teruk. Tak tahu nak mula dari mana,” ujar Azwan.

Menurutnya lagi, oleh kerana sudah terlewat membantu misi bantuan, dia bersama beberapa rakan berhasrat untuk mengikut pihak Bomba mencari mangsa bah yang masih hanyut.

“Namun untuk keselamatan, pihak Bomba tidak membenarkan kami dalam misi bersama mencari orang hilang.

“Ini kerana keadaan air yang terlalu deras dan laju. Jadi kami akur,” katanya lagi menghormati tugas pihak berkuasa.

Meski demikian, Azwan yang sebelumnya mengaku tidak mempunyai dana untuk membantu meringankan beban penduduk yang terjejas melalui Facebook Livenya memberitahu akan berusaha membantu semampu boleh.

“Buat masa ini, apa yang saya fikirkan adalah membuat misi pembersihan. Tolong penduduk yang terjejas.

“Belikan juga barang keperluan mana yang mampu sebab kami tak punya dana untuk bantuan (kewangan) atau barangan kepada mangsa banjir,” katanya.

Media melaporkan, hujan lebat yang turun lebih tiga jam menjejaskan Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas di Mukim Kupang, selepas berlaku limpahan air sungai di kawasan berdekatan.