Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Abhishek Bachchan Dedah Bapanya, Amitabh Pernah Pinjam Duit Pekerja Untuk Beli Makanan

Maliah Surip
08/12/2021 07:31 MYT
Aktor Bollywood, Abhishek Bachchan baru baru ini mendedahkan keluarganya pernah mengalami krisis kewangan yang cukup teruk sehingga bapanya, pesohor Amitabh Bachchan pernah meminjam hanya untuk memberi makan seluruh keluarganya.

Abhishek mendedahkan kisah tersebut sewaktu menjadi tetamu dalam podcast The Ranveer Show baru baru ini, lapor The Hindustan Times.

Menurut Abhishek, peristiwa tersebut berlaku sebelum tahun 2000, dan mengambil keputusan untuk pulang ke India selepas mendapat tahu mengenai kesengsaraan yang dihadapi keluarganya sewaktu dia menuntut di Boston.

“Saya berbual dengan ayah di telefon dan mengambil keputusan pulang ke Mumbai selepas mendapat tahu dia mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga tidak mampu menyediakan makanan seperti makan malam buat keluarga kami.

“Sebagai anak lelaki saya berasa bertanggungjawab untuk berada di sisinya saat susah walaupun hanya sekadar untuk memberikan sokongan moral,” kata Abhishek.

Suami Aishwarya Rai ini kemudian mendedahkan, bapanya yang kini menjadi salah satu idola di seluruh dunia terpaksa meminjam wang dari pekerja sendiri hanya untuk membeli makanan buat makan malam mereka sekeluarga.

“Ayah meminjam wang dari pekerjanya untuk menyediakan makan malam keluarga saya. Dia benar benar mengalami krisis kewangan yang teruk saat itu.

“Dan saya mahu dia tahu saya akan selalu ada bersamanya dalam keadaan susah,” tambah Abhishek lagi.

Sebelumnya, Amitabh mengaku dia menjadi hos sebuah program kuiz popular lebih dua dekad lalu kerana tidak mempunyai pekerjaan.

“Saya tidak mempunyai tawaran berlakon saat itu dan mengambil pekerjaan tersebut (hos). Dan tiba tiba tawaran berlakon datang mencurah. Sejak itu saya percaya dunia boleh berubah,” katanya dalam satu temubual tidak lama dulu.

Kredit Foto: The Indian Express

#Bollywood #makan #Amitabh #Duit #“Abhishek #Bachchan”
;