HIBURAN

AC Mizal Kecewa Dengan Kenyataan Ajai - "Come On You’re My Friend, Kenapa Nak..."

Umirah Halim 02/07/2025 | 11:55 MYT
Kontroversi penganjuran We 4U2C Live In Concert terus memanas apabila anggota kumpulan 4U2C, Datuk AC Mizal, meluahkan rasa kecewa terhadap komposer, Ajai, yang tampil memberi kenyataan berkaitan isu hak cipta lagu melibatkan kumpulan berkenaan.

Menerusi kenyataan kepada media, Ajai difahamkan berkata bahawa konsert 4U2C tidak sepatutnya diteruskan kerana pemilik asal ‘bunyi’ lagu-lagu kumpulan itu ialah Man Senoi.

Menurut AC, dia tidak menyangka bahawa Ajai akan memberikan kenyataan sedemikian dan menganggap kenyataan tersebut seolah-olah mahu ‘menutup periuk nasi’ rakan seindustri sendiri.

“Ajai is a good friend of mine. Saya agak kecewa dengan dia punya statement yang mengatakan, ‘Oh, 4U2C tak boleh buat konsert'.

“Sedangkan pada hari Ahad, jam 6 petang, dia sendiri call saya dan kata, ‘AC, aku ada bagi statement’… Saya tak tahu nak kata apa. Tapi masa tu saya fikirkan pasal perundangan je.

“Dia sendiri yang suruh saya saman Man Senoi, tapi saya cakap tak payah. Saya hanya nak buat persembahan, itu saja.

“Tapi tiba-tiba malam tu keluar kenyataan dia yang kata tak boleh buat konsert. Ajai, come on. You’re my friend. Kenapa kau nak tutup periuk nasi budak aku ni?,” katanya.

AC berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang media tergempar 4U2C yang diadakan di Tribeca Serviced Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Selain itu, AC turut memaklumkan bahawa dia tidak pernah mengganggu atau mencampuri urusan kumpulan lain termasuk kumpulan yang dianggotai Ajai, iaitu Exist.

“Saya tak pernah kacau pun Exist, saya tak pernah ganggu sesiapa, Ajai, apa masalahnya dengan kita orang? Awak sendiri dah lama dalam industri, tapi komen pasal sesuatu yang awak sendiri tak pasti tentang undang-undang muzik di Malaysia.

“Reporter pernah tanya saya pasal masalah kumpulan Exist, saya jawab mudah je, saya tak tahu hal sebenar, jadi saya tak komen. Tapi kenapa Ajai boleh cakap 4U2C tak boleh buat konsert? Itu menjejaskan kredibiliti kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, AC turut mempersoalkan hasrat Timbalan Presiden Muzik Malaysia, Ayob Abdul Majid yang dikatakan cuba bertindak sebagai orang tengah untuk mempertemukan pihaknya dengan Man Senoi.

“Konon nak jadi hero pertemukan kami dengan Man Senoi, kami tak perlukan itu. Sebelum nak buat konsert kami dah buat persiapan rapi. Kami juga orang profesional dalam industri.

“Kalau betul nak jadi hero, saya minta Ayob tanya pada Man Senoi tentang royalti lagu kami di digital platform atau keluarkan suara kami,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kontroversi ini mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang penganjuran We 4U2C Live In Concert walaupun mendakwa memiliki hak cipta sepenuhnya ke atas 25 lagu milik kumpulan hip hop 4U2C menerusi syarikat mereka, Zman Production.

Man Senoi dilaporkan mempersoalkan bagaimana pihak 4U2C mahu meneruskan konsert jika sebahagian besar lagu yang bakal dipersembahkan adalah milik syarikatnya secara sah.

Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada peminat, industri muzik serta individu dalam bidang seni tanah air, termasuk komposer Ajai yang turut menyatakan pandangan secara terbuka kepada media.