Keadaan industri hiburan yang turut terkesan dengan situasi ekonomi semasa menyebabkan ramai artis tempatan kurang mendapat kerja dan hilang punca pendapatan.

Bagaimanapun, inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan tiga persatuan hiburan memberi masa depan cerah pada sebilangan artis untuk menampung kos sara hidup.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez berpandangan acara hiburan yang diadakan pada hujung minggu dapat memberikan suatu bentuk ketenangan pada warga kota.

"Apa yang lebih penting adalah memberi peluang pada artis membuat persembahan dan bertemu dengan peminat. Industri kita bukan seperti dulu di mana bermacam ekspo diadakan dan artis dapat membuat persembahan pada setiap minggu," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, peranan agensi kerajaan seperti DBKL sangat dialukan dalam membantu artis tempatan terus aktif dalam kerjaya seni dan berpeluang membuat persembahan.

KARYAWAN akan terbabit dalam acara KL Street Jam yang diadakan di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu minggu pertama setiap bulan mulai April sehingga Disember ini.



Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi pula berkata, peluang yang diberikan DBKL untuk menganjurkan Hiburan Santai Seniman di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur bermula 14 April ini memberi manfaat pada artis untuk terbabit sama. Acara akan diadakan dari jam 8.45 malam sehingga 11.30 malam.

"Kebanyakan artis ada mendapat 'job' dan ada yang tidak, jadi dari masa ke semasa kita memberi peluang pada artis terlibat dalam acara ini dan secara tidak langsung artis boleh bersantai bersama masyarakat," katanya.

Sementara itu, Yayasan Artis Veteran Malaysia juga mengambil bahagian dalam acara Hiburan Rakyat Senandung Budaya yang akan diadakan di Medan Pasar pada minggu kedua dan keempat setiap bulan bermula April sehingga hujung tahun ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak