FILEM
Acha Septriasa Dedah Baca Sebuah Puisi Sebelum Lakonkan Adegan Solat Taubat Dalam Qodrat 2 - “Rasa Seperti Dapat Wahyu”
Pelakon, Acha Septriasa berkongsi kisah di sebalik bagaimana beliau mendalami adegan solat taubat dalam Qodrat 2.
Menurut Acha, dia mendapat ilham istimewa untuk menghidupkan babak tersebut daripada puisi terakhir W.S. Rendra berjudul Hidup Itu Seperti Uap.
“Saya rasa bertuah dan gembira kerana adegan itu dijadualkan agak lewat dalam jadual penggambaran.
“Sebenarnya puisi itu sudah lama tersimpan dalam nota telefon saya, tapi saya baru membacanya kembali pada hari itu. Rasanya seperti mendapat wahyu,” katanya kepada Gempak.
Bercerita lanjut, Acha menjelaskan adegan solat taubat tersebut hanya diulang sebanyak tiga kali.
“Dua kali pengambilan pertama saya rasa belum cukup memuaskan. Selepas membaca puisi W.S. Rendra itu, saya lebih terbawa emosi.
“Ini adalah adegan sakral, tentang solat. Jadi, pada pengambilan ketiga, saya terus beritahu pengarah, ‘Saya rasa saya tidak mampu ulang lagi,’” kongsinya.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.