Pelawak Achey tidak ambil pusing jika ada kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap dirinya kerana ‘suka tayang bini’.

Ketika dihubungi Gempak, Achey berkata dia mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian dan lebih selesa orang tahu mengenai dirinya dan keluarga.

“Ya betul. Ada sesetengah artis tak mahu ‘expose’ anak dan isteri mereka, benda ni sebenarnya masing-masing punya prinsip.

“Macam saya, saya memang nak tulang belakang dan semangat kejayaan saya ada dalam hasil kerja saya.

“Lagipun, kalau semua orang tahu kan senang. Risiko nak ‘curang’ pun kurang sebab orang dah kenal bini saya.

“Mungkin ini cara saya untuk beringat tentang status diri, suami beranak satu!,” katanya ketawa.

Pada tahun 2017, Achey menjadi trending di saluran Youtube selepas lagu rayanya Despacito Raya menjadi tular.

Pada tahun ini, Achey dibawah label 17 Eleven muncul dengan lagu raya baru berjudul Syawal kita yang dilancarkan pada 15 Mei lalu.

Baru tiga hari dilancarkan, Syawal kita menjadi trending, berada di tempat ke 30 di laman sosial YouTube, naik 10 anak tangga berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah, kalau jadi trending tu maknanya orang terima dan dengar lagu raya saya. Terima kasih kepada yang menyokong.

“Macam yang anda semua dengar, saya masih mengekalkan keceriaan dalam lagu raya saya kerana Hari Raya adalah untuk menyambut kegembiraan.

“Tak boleh balik raya kerana COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sebab untuk kita bersedih, sampai lagu raya pun kena sedih.

"Rasa kemenangan selepas sebulan berpuasa tu mesti kena ada,” katanya yang turut menampilkan isteri dan anak dalam klip video lagu tersebut.