Pelawak Achey dan Fad antara selebriti yang bertindak pantas turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan.

“Insya-Allah…bantuan kami berikan tidaklah sehebat NGO-NGO di luar sana, tetapi kami cuba bantu dengan apa yang kami ada.

“Kami ‘tong-tong’ (kongsi) sikit sorang. Ada juga sumbangan daripada kawan-kawan. Macam saya sendiri team bola di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh ini pun ada tabung bola.

“Jadi kami gunakan untuk memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terkesan. Fad pula memang keluarkan wang sendiri, tetapi berapa jumlahnya…kena tanya Fad sendiri,” kata Achey ketika dihubungi.

Bagaimanapun kata Achey, dia berharap lebih ramai lagi pihak turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh Selangor yang terkesan.

“Ada tempat-tempat yang kami tak boleh masuk kerana tiada kepakaran. Kami berharap agar bantuan segera sampai kepada mereka.

“Kami akan ke beberapa buah tempat seperti Ijok, Batang Berjuntai, Meru dan sekitar dengan membawa barang keperluan asas seperti lampin pakai buang dan pakaian,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai Ebby Yus yang turut terkesan akibat bencana alam Sabtu lalu, Achey berkata rakan-rakan pelawak sepakat untuk menubuhkan tabung derma kilat bagi membantu meringankan beban sahabat mereka itu.

“Semoga abang Ebby tabah dengan dugaan ini, Insya-Allah ada cadangan untuk menubuhkan tabung derma kilat buat beliau.

“Kita harap semua yang terlibat dapat bertahan dalam sedikit masa lagi dan sentiasa kuat menghadapi ujian ini,” katanya.