Achey Tak Sangka Black Sudi Bersahabat Dengannya – “Siapalah Saya Kalau Nak Dibandingkan Dengan Dia Waktu Itu...”

Fiza Kamarudin
Ogos 28, 2020 13:11 MYT

Pelawak Achey mengakui tidak menyangka persahabatannya dengan penyanyi Black berkekalan sehingga ke hari ini.

Achey ketika ditemui berkata, dia mula mengenali Black ketika menyertai program realiti Bintang Mencari Bintang (BMB) sebagai seorang peserta dari kampung dan juri profesional.
“Saya sendiri tak sangka persahabatan kami kekal hingga hari ini. Saya mula menegur Black ketika dia menjadi juri BMB dan kami mula bertukar nombor selepas itu. Sepanjang pertandingan Black banyak membantu saya.
“Sekarang dah tujuh tahun bersahabat pun, Black akan sentiasa ada ketika saya memerlukan. Siapa sangka…Black sudi layan budak kampung macam saya sehingga menjadi sahabat,” katanya.
Selain itu Achey tidak menafikan pernah berselisih faham dengan Black sehingga menyebabkan mereka tidak bertegur sapa selama setahun.
“Sedangkan lidah lagi tergigit…Inikan pula kawan-kawan. Setahun kami tidak bertegur sapa kerana ego masing-masing.
“Tapi kira okaylah, sekarang kami masih bersahabat dan dah faham sangat perangai masing-masing,” katanya.
Keakraban dua sahabat ini pernah menjadi pertikaian warganet ketika Black dilanda kontroversi beberapa bulan lalu sehingga Achey digelar ‘bodoh’ kerana menyokong penyanyi Sofea Jane itu.
“Saya bersuara sebab saya faham apa yang Black cuba sampaikan. Lagipun Black tak perlukan bantuan untuk diri dia kerana dia mampu menanggung keluarga dia.
“Dia bercakap bagi pihak kru produksi dan orang-orang belakang tabir. Mereka itu juga anak seni, bukan yang di depan kamera ni sahaja kita panggil anak seni,” katanya.
Achey ditemui ketika majlis pelancaran Filem Televisyen (FTV) Fronliner di Big Boss, Publika, Kuala Lumpur pada petang Khamis.

Single terbaru Black berjudul Sabar turut diangkat sebagai lagu tema Fronliner dan muzik videonya turut menjalani penggambaran serentak dengan FTV tersebut.

Selain Achey, FTV Frontliner terbitan D’Alphalegacy arahan Razif ‘Ajiboy’ Rashid ini turut dibarisi Beto Kusyairy, Emma Maembong, Azhan Rani, Farah Ahmad, Wan Maimunah, Ashraf Muslim, Zul Handyblack, DSP Noorhamasiren, Meerhakim dan Shamsul Danish.

Filem televisyen (FTV) ‘Frontliner’ merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai pengorbanan dan konflik dalaman golongan wira barisan hadapan yang menjadi pejuang benteng utama dalam membendung penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
Frontliner dijangkabersiaran menerusi platform Astro First Eksklusif di saluran 480 pada Oktober ini.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh distrim di platform digital menerusi perkhidmatan On Demand.

#Black #Achey #Frontliner