Pelawak, Achey buat pertama kalinya muncul dengan lagu raya terbaharu ciptaan sepenuhnya berjudul Raya Rempit.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 37, berkata dia tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu Raya Rempit.

“Lagu ini saya buat tak lama sebenarnya. Semasa perjalanan pulang ke kampung sebelum Ramadan, saya dapat melodi lagu ini dan bila balik semula ke Kuala Lumpur, saya sudah dapat liriknya. Kemudian saya tulis dan hantar kepada pengarah muzik untuk proses susunannya.

“Menerusi lagu Raya Rempit ini, saya mahu menceritakan kebiasaan sambutan raya yang jarang ditampilkan di dalam sesebuah lagu. Semua orang yang nak raya mesti akan beli baju raya dan hias kereta dengan cantik.

"Sama juga dengan mereka yang balik ke kampung dengan menaiki motosikal. Bila nak balik kampung, mereka mesti akan cantikkan motor dan bersihkannya, jadi lagu ini adalah untuk mereka. Itu adalah kebiasaan bila nak beraya,” katanya.

Menurut Achey, lirik lagu Raya Rempit lari daripada kebiasaan lagu raya lain yang bertemakan balik kampung.

“Apabila saya bagi saja melodi ini kepada pasukan Seventeen Eleven Music, mereka terus setuju untuk rakamkannya. Lagu berserta video muzik dapat disiapkan dalam tempoh tiga ke empat hari sahaja.

“Muzik video kami juga ‘simple’ dan hanya menggunakan apa yang ada dalam kedai motosikal sahaja. Saya adalah rakan kongsi kepada bisnes menjual aksesori motosikal dan saya menggunakannya untuk ditampilkan di dalam muzik video lagu ini.

“Lagu Raya Rempit ini antara lain bertujuan untuk lari sikit daripada lagu-lagu yang menceritakan mengenai balik kampung, memasak, bermaaf-maafan dan sebagainya sebab itu memang kita tahu akan dilakukan pada hari raya.

"Tapi apa yang saya mahu sampaikan kepada orang adalah perkara lain dari lain. Saya juga adalah peminat motosikal, jadi apa salahnya saya hasilkan lagu seperti ini,” katanya.

Seperti kebanyakan lagu yang dihasilkan sebelum ini, Achey juga berharap single “
Raya Rempit ini akan diterima baik pendengar dan mampu kekal malar segar.

“Saya mengharapkan sambutan baik daripada pendengar terutama pengguna motosikal yang akan pulang ke kampung raya tahun ini. Walaupun ia menjadi kebiasaan mereka setiap kali menyambut hari raya, tapi ia masih belum dilagukan sehiggalah terkeluarnya lagu Raya Rempit.

“Saya berterima kasih kepada pasukan Seventeen Eleven Music kerana sudi menerima lagu raya seperti ini. Tahun ini kita buat kelainan sedikit dan mungkin ia nampak seronok dengan melodi yang ’catchy’,” katanya.

Lagu Raya Rempit terbitan Seventeen Eleven Music yang dikeluarkan pada 10 April lalu dan kini boleh distrim di semua pelantar striming muzik dan video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.