Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

"Ada Antara Mereka Yang Rapat Dengan Saya, Saya Sedia Maafkan Jika..." – Isu Buli Siber, Linda Rafar Buat Laporan Polis

Asraf Aided 18/07/2019 | 04:29 MYT
Anggota kumpulan Elite, Linda Rafar telah membuat laporan polis berkenaan isu buli siber yang menimpa dirinya sejak kebelakangan ini.
Ketika dihubungi Gempak, hasil siasatan pihak peguam Linda dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati ada beberapa individu menggunakan akaun palsu dan bercakap buruk tentang dirinya di media sosial.
"Sejak kebelakangan ini, ada beberapa individu yang selalu cakap buruk tentang diri saya di media sosial.
"Saya telah dimaklumkan oleh peguam dan pihak SKMM, mereka menggunakan akaun palsu untuk berbuat demikian, saya telahpun membuat laporan polis semalam.
"Ada antara mereka yang saya kenal dan turut bergiat dalam dunia seni seperti saya, terus terang saya katakan, saya kecewa dengan perbuatan mereka.
"Saya hairan mengapa mereka bersikap begitu sedangkan saya tak pernah campur atau kacau urusan mereka, sampai punca rezeki saya pun mereka mahu pertikaikan," ujarnya.
Dalam pada itu, Linda menambah, dia bersedia untuk memaafkan beberapa individu terbabit sekiranya mereka berhenti berbuat demikian.
"Sekarang keputusan terserah kepada saya, laporan polis pun sudah dibuat, saya mahu beri masa kepada mereka.
"Saya bersedia untuk memaafkan jika mereka berhenti bercakap buruk mengenai saya di media sosial," tambahnya.
Difahamkan, Linda kini dalam proses untuk menenangkan diri berhadapan perkara itu kerana ia sedikit sebanyak telah membuatnya berasa tertekan.
"Saya akui kecewa dan tertekan berhadapan perkara ini, sekarang saya cuba tenangkan diri, doakan yang baik-baik untuk saya," tuturnya menutup bicara.
#Linda Rafar #Buli Siber
;