Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ada Apa Dengan Lepak Geng Utagha Sampai Lebih 1,000 Anak Muda Berhimpun Di Masjid?

Amri Hassan
31/07/2023 06:54 MYT
Ada muda lepak di masjid? Satu situasi yang sukar untuk kita lihat ketika ini, apabila pemodenan dan gajet menguasai dunia.

Tapi berbeza dengan hal yang berlaku di Masjid Darul Murtadha, Sungai Petani, Kedah pada hujung minggu lalu apabila lebih 1,000 anak muda terdiri kebanyakannya remaja berhimpun dari pagi hingga malam.

Faktanya, Yayasan Murtadha Berhad di bawah bimbingan pengasasnya, Ustaz Yaakub Yusra dengan cemerlang dan luar jangkanya telah menarik minat golongan terbabit menerusi pengisian bermakna Liga Sepak Penalti dan sukan elektronik, Madad E-Football 23 Mobile.




Maklum Ustaz Yaakub, sebanyak 124 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Sepak Penalti yang julung-julung kali diadakan itu dan penyertaan memberangsangkan sebanyak lebih 64 peserta untuk e-football.

"Dalam program Lepak Geng Utagha, kami menyasarkan anak-anak muda dan menariknya sebanyak 124 pasukan terlibat dalam Liga Sepak Penalti, terdiri daripada lebih 700 orang peserta.

"Manakala, 64 peserta mendaftar untuk menyertai Madad E-Football 23 Mobile, malah ada yang datang saat akhir untuk menyertai pertandingan kali ini," katanya kepada Gempak dalam sesi sidang media virtual pada Sabtu lalu.

Remaja candu dunia media sosial dan gajet
Kata Ustaz Yaakub lagi, pihaknya menyediakan pendekatan 'reverse psychology' untuk melaksanakan program Geng Lepak Utagha ini.

"Idea ini tercetus untuk mengumpulkan golongan remaja menjalani kehidupan sihat. Perkataan lepak itu sendiri sinonim dengan anak muda yang dicandukan dengan dunia media sosial dan gajet.

"Jadi kita menyediakan satu saluran alternatif untuk mereka dengan pengisian bermanfaat. Program ini menerapkan pengisian rohani dan jasmani," ujarnya.

Dalam jangka masa panjang, perancangan Ustaz Yaakub adalah mengadakan Liga Sepak Penalti terbesar di Malaysia yang dijangka akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada akhir tahun. Perancangan itu akan membabitkan lebih 1,000 pasukan dan hadiah terkumpul lebih tinggi.

Pada masa sama juga, tambah Ustaz Yaakub, sebanyak tujuh rombongan bas dari beberapa negeri antaranya Pahang, Perak dan Perlis hadir untuk kuliah dhuha di Masjid Darul Murtadha, Murtadha Dakwah Centre.

"Sebelum perasmian bermula, peserta diajak untuk sama-sama terlibat dalam Kuliah Dhuha yang menampilkan barisan tokoh agamawan popular seperti Ustaz Firdaus Firabid, Ustaz Ahmad Yusof Ustaz dan Ustaz Abdullah Khairi.

"Pada sebelah malam pula ada penampilan khas untuk sesi forum bersama bekas pemain bola sepak profesional kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar," tambahnya.

Masjid sebagai One Stop Centre
Program ini juga merupakan inisiatif Masjid Darul Murtadha yang berperanan sebagai One Stop Centre, bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah solat, tetapi juga diperluaskan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk menyediakan pelbagai aktiviti sihat, sesuai kehendak lapisan masyarakat terutamanya golongan anak muda.

Program ini juga antara kesinambungan penubuhan Kelab Budak Masjid, inisiatif untuk mendekatkan anak muda ke masjid. Melalui program ini, Yayasan Murtadha Berhad memberikan wang sagu hati kepada anak-anak muda yang hadir untuk solat berjemaah di masjid.

Masjid Darul Murtadha juga mengambil iktibar daripada zaman Rasulullah yang memperluaskan peranan masjid kepada pusat aktiviti masyarakat yang dapat mengeratkan ukhwah penduduk sekitar.

Mengambil pendekatan itu, Masjid ini mempunyai hotel kapsul yang memberikan kemudahan kepada musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan mereka.

Malah, masjid ini turut menyediakan taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.

Masjid Darul Murtadha merupakan sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre yang meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sport, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma.

Untuk mereka yang mahu mengejar saham akhirat dengan bersama-sama menjayakan penubuhan Murtadha Dakwah Centre, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank 5520 5980 7117 atas nama Murtadha Dakwah Centre, atau boleh klik link http://www.madadcentre.com serta boleh juga hubungi nombor hotline 014-601 9090 atau 014- 601 9494.
#Kedah #Ustaz Yaakub Yusra #Sungai Petani #MADAD #E-Football #Geng Lepak Utagha #Liga Sepak Penalti #Masjid Darul Murtadha
;