Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ada Cadangkan Saya Minum Air Peria Katak” - Sebab Ikut Nasihat Rakan, Kencing Manis Ako Mustapha Makin ‘Teruk’

Izwan Isa
18/08/2022 07:50 MYT
Pelakon Ako Mustapha mengakui masalah kencing manis yang dihidapinya menjadi semakin tidak terurus akibat terlalu mendengar pelbagai nasihat dan petua daripada rakan-rakan terdekat.

Ako berkata, disebabkan terlalu mendengar cadangan rakan untuk mencuba pelbagai jenis suplemen, ubat-ubatan dan rawatan hospital dilupakan sehingga keadaannya menjadi lemah beberapa minggu lalu dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Sebenarnya, sejak saya hidap kencing manis, saya tidak pernah mendapat informasi mengenai penyakit ini secara formal. Kemudian, saya ini jenis dengar cakap kawan… Oh ada kencing manis? Makan ini, cuba itu.

“Ada yang meminta saya ambil suplemen dan ada juga yang mencadangkan saya minum air peria katak. Begitulah kawan-kawan memberikan cadangan.

“Saya pula macam kambing tak berfikir, ikut sahaja. Jadi perlahan-lahan kesihatan saya menjadi sedikit huru-hara. Akhirnya, dua minggu lalu, gula dalam darah jadi sangat tinggi menyebabkan darah menjadi berasid dan saya terpaksa dirawat di hospital,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Ai.5ya di Sunway Pyramid, semalam.

Dalam pada itu, Ako menjelaskan yang pihak hospital telah memberi nasihat kepadanya untuk mengikut pelan rawatan yang telah dikeluarkan oleh hospital.

“Makan ubat pun saya tidak ikut jadual. Jadi, doktor ‘basuh’ saya untuk terus kekal dengan rawatan daripada hospital.

“Apabila sudah ada masalah ini (kencing manis), saya mengalami masalah tidak boleh fokus. Cepat penat dan mengantuk. Geram betul pada diri sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, selain membintangi drama Ai.5ya, Ako turut sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir sebagai penerbit.

“Buat masa ini, saya suka apa yang saya buat. Saya enjoy jadi penerbit. Sebab saya tidak perlu selalu tukar baju seperti rutin lakonan. Kadang-kadang tukar baju tu penat,” katanya sambil tertawa.

Terdahulu, Gempak melaporkan yang Ako dimasukkan ke hospital akibat insulin dalam badannya berada pada angka kosong.

#Ako Mustapha #Kencing Manis #Peria Katak
;