Penyanyi nasyid, Anas Tahir mengakui wujud segelintir artis nasyid kejar populariti dan bersikap hipokrit.

Pernah menganggotai beberapa kumpulan nasyid sebelum bergelar penyampai radio Zayan, Anas berkongsi pengalaman sebagai anggota nasyid yang berdepan pelbagai cabaran dalam industri muzik tanah air.

Anas yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Swansea kembali menyertai kumpulan nasyid, Firdaus sekembali dari luar negara.

"Bagi saya, ada segelintir artis nasyid yang kejar populariti. Sebenarnya, jika kita ikhlas dalam bidang ini, kerjaya seni boleh pergi jauh.

"Dulu pun, ada juga artis nasyid yang hipokrit sampaikan nak bersembang dengan artis wanita pun tak boleh," katanya.

Anas kini masih setia bersama kumpulan Firdaus percaya single atau album nasyid masih boleh dijual jika mengikut peredaran zaman sekarang.

"Seperti berdakwah, kita tak boleh ikut zaman dulu tapi bersesuaian dengan zaman kini.

"Bagusnya dalam kumpulan nasyid, setiap minggu ada dibuat usra tapi anggota nasyid juga perlu terbuka dalam menerima pandangan orang lain," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak