Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ada 'Kerabat' Dampingi Diana Danielle? Ini Komen Empunya Badan!

Syafiqah Jalal
26/08/2023 01:10 MYT
Pelakon Diana Danielle, 32, tidak mahu memikirkan soal cinta atau pengganti meskipun selepas tamatnya idah kelak.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, berkata, dia seboleh-bolehnya tidak mahu memanjangkan soal itu dan mahu fokus pada kerjaya dan anak-anaknya.

“Sebenarnya saya tiada jawapan. Saya tidak fokus dengan perkara itu.

"Saya tak suka sembang pasal benda ini. Sebab kalau saya mula, dia akan mula semula, saya sudah tukar status, jadi jalau saya layan soalan sebegitu, nanti mesti akan ada soalan mengenai macam ini lagi,” katanya kepada Gempak.

Malah apabila ditanya mengenai dakwaan dirinya menjalinkan hubungan dengan golongan ‘kerabat’, Diana turut menafikan.

“Kerabat mana tu? Masa saya ‘single’ dulu dan sebelum saya berkahwin pun, macam-macam keluar.

"Jadi saya hanya berseronok mendengarnya. Jika anda boleh berseronok dan saya pun boleh berseronok tentang perkara itu," jawabnya.

Diana menjawab pertanyaan media ketika menghadiri sidang media single terbaharunya, Bersama Dengan Rindu, di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu, Diana turut meminta maaf jika ada pihak yang kurang senang dengan kekhilafan dan perilakunya selama dalam tempoh idah.

Ia rentetan daripada hantarannya memuat naik gambar seolah-olah memegang tangan seorang individu yang didakwa sebagai pengganti bekas suaminya, Farid Kamil.

“Bukan selalu kita lalui benda ini, ini kali pertama bagi saya. Mungkin saya ada tersilap langkah, jadi saya minta maaf saya pun tak sedar benda itu adalah suatu yang sensitif pada orang ramai.

Saya ambil secara positif dan perbaiki,” katanya.

Diana sebelum ini menjelaskan tangan yang dipegangnya itu adalah rakan wanita yang hanya dikenali Yien.

Dalam masa sama, Diana tidak menafikan dia masih dalam fasa membiasakan diri menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal.

Pada 21 Ogos baru-baru ini, Diana mendapat hak jagaan anak sepenuhnya terhadap dua orang anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8 oleh hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Zulfikri Yasoa.

Terdahulu Farid melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Syukran Yusof, menerusi Google Meet memandangkan pelakon filem Anwar itu tidak menghadirkan diri ke mahkamah.

Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.

;