HIBURAN
"Ada Kesilapan Kecil Ketika Saya Membuat Persembahan .." - Gagal Mara Ke AJL34, Khai Bahar Tak Sedih
Penyanyi dan pelakon Khai Bahar bersikap positif selepas tidak berjaya untuk mara ke Anugerah Lagu 34 (AJL34).
Kata Khai dia tidak berasa kecewa atau sedih kerana ini bukan penamat untuk karier nyanyiannya.
"Tidak ada rasa kecewa atau sedih memandangkan lagu-lagu yang dipertandingkan pun baik. Ada hikmahNya dan saya positif sahaja.
"Saya tidak berjaya ke AJL bukan beerti tamat segalanya.
"Saya percaya kepada rezeki dan nampaknya tahun ini rezeki tidak berpihak kepada saya.
"Yang pasti saya tidak akan putus asa dan akan cuba lagi untuk tahun hadapan.
"Insya-Allah ada peluang dan ruang lain nanti, begitu juga dengan rakan artis lain yang turut sama tidak berjaya. Masing-masing sudah berikan yang terbaik.
"Rasanya 12 buah lagu yang terpilih memang layak dan saya tetap akan memberi sokongan," katanya kepada Gempak.
Khai ditemui ketika majlis pelancaran lagu dan muzik video Ratuku bagi promosi dana wakaf MAIPS yang diadakan di InterContinental, Kuala Lumpur.
Pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin akui ada kesilapan yang telah dilakukannya dan akan perbaiki di masa depan.
“Bila ramai peminat yang kecewa ini membuatkan saya lagi bersemangat.
“Mungkin sebelum ini ada kesilapan kecil ketika saya membuat persembahan di pentas.
"Insya-Allah saya kaji balik persembahan untuk perbaiki apa yang sepatutnya.
"Saya juga ada terima respon yang menyatakan lagu ini tidak cukup kuat berbanding dengan lagu yang berjaya ke AJL.
"Saya akan cuba untuk menjadi lebih baik di masa akan datang. Apa-apa pun saya dah cuba yang terbaik, " jelasnya lagi.
Ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik Minggu Pertama, Khai telah menyanyikan lagu #123 selain duet bersama Siti Nordiana untuk lagu Satukan Rasa.
Must-Watch Video