Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa syukur akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Muzik Kontemporari di Universiti UCSI.

Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 28, mengakui sukar untuk belajar dan bekerja dalam masa yang sama.

"Saya dah habis belajar tahun lalu, tetapi majlis konvokesyen ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

"Alhamdulillah, akhirnya majlis graduasi berlangsung semalam dan saya secara rasminya telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda.

A post shared by AINA ABDUL (@ainaabdul)


"Bukan mudah untuk saya belajar dan bekerja dalam masa yang sama tetapi saya tetap berusaha mahu menamatkan pengajian. Ada ketika saya rasa letih tapi saya harus mencuba bersungguh-sungguh.

"Saya pernah menangguhkan pengajian pada penghujung 2014 kerana menyertai Mentor Legend. Selepas itu, saya mula mencari tapak dalam bidang seni dan pada masa yang sama menyambung pengajian.

"Saya sedar yang menyanyi sahaja tidak cukup, saya harus melengkapkan ia dengan ilmu. Lagipun, saya belajar dalam bidang muzik juga, jadi saya banyak aplikasikan apa yang saya pelajari dalam kerjaya harian saya," katanya.

Pelantun lagu Semalam, Sumpah dan Sepi ini juga berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan dorongan positif.

"Keluarga, pensyarah, pihak universiti dan rakan-rakan banyak memberikan sokongan tak berbelah bahagi.

"Peminat saya, Ainations juga menjadi penguat semangat untuk saya melangkah lebih maju. Setiap kali jika saya rasa lemah semangat, saya terus teringat orang yang menyokong saya.

"Saya tak boleh berhenti kerana ramai yang memberikan sokongan serta aura positif untuk melihat saya melangkah jauh. Saya harus banggakan mereka," katanya lagi.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!