Walaupun sudah ada amaran dan laporan polis terhadap penjenayah siber yang sewenang-wenangnya membocorkan filem tempatan di media sosial sebelum ini, namun masih ada lagi berani.

Terbaru, filem Busker turut menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab walaupun baru dua hari ditayangkan dan disebarkan menerusi laman sosial FB.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar ketika dihubungi menyifatkan gejala ini sesuatu yang menakutkan buat semua pengiat filem tempatan.

“Sudah tiba masanya perkara ini harus ditangani secara serius, kerana ia melibatkan periuk nasi kesemua karyawan filem tempatan.

“Jika ia terus berlaku, berkemungkinan kami tidak mampu menerbitkan filem lagi di masa akan datang,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak Astro Shaw tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika masih ada pelayar di FB kongsi atau menyebarkan klip filem Busker.

Filem Busker masih ditayangkan di pawagam bermula 11 Januari lalu.

Pendapat Astro Gempak, diharap rakyat Malaysia tidak menyokong atau berkongsi filem-filem yang telah dimuat naik secara haram ini.

Sedih mengenangkan nasib filem tempatan yang sering dirosakkan, oleh itu tunjukkan sokongan anda dengan menonton di pawagam, bukan dengan cara muat naik haram.

Diharap mana-mana badan berwajib mahupun persatuan-persatuan karyawan dapat mencari jalan agar filem tempatan mampu bersaing secara sihat.