”Ada Masa Kita Bangkang Ada Masa Kita Bertenang…” – Shahrol Shiro Tidak Sependapat Dengan Afdlin Shauki
Shahrin Zulkifle
12/07/2022 05:00 MYT
12/07/2022 05:00 MYT
Pelawak Shahrol Shiro tidak sependapat dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Afdlin Shauki yang membantah sekeras-kerasnya penutupan sementara sebuah kelab ekoran kontroversi seorang wanita yang menghina agama Islam tempoh hari.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram milik Shahrol, dia berpendapat tindakan untuk menutup sementara kelab CrackHouse itu wajar dan sepatutnya dilakukan untuk tujuan siasatan lebih lanjut pihak berkuasa.
“Assalamualaikum bang @afdlinshaukiofficial .Penutupan sementara CrackHouse ada betulnya juga bagi membantu siasatan isu yang sedang hangat hari ni. Ada dua persoalan yang bermain difikiran saya.
“Pertama, sebagai penganjur dan pemilik premis kita punya hak untuk menghalang sebuah persembahan jika ianya melanggar batas-batas terutama isu sensitif yang melibatkan kesucian Agama Islam.
“Adakah ianya tidak diberitahu kepada yang akan membuat persembahan terlebih dahulu? Dan jika ianya melanggar batas tersebut kenapa penganjur tidak terus naik ke atas pentas dan membatalkan persembahan serta merta dan kita melihat seolah penganjur meraikan content komedi tersebut,” tulisnya pada kapsyen.
Shahrol atau pemilik nama asli Shahrol Azizie Azmi turut merasa hairan, adakah sebelum ini pihak penganjur melepaskan konten-konten sedemikian untuk dipersembahkan di atas pentas tersebut.
“Adakah sebelum ini pihak penganjur pernah melepaskan content sebegini atau lebih sensitif lagi kerana ada lagi beberapa video yang kian tular yang akan mengundang kemarahan masyarakat lagi.
“Pada pendapat saya biarlah ditutup sementara bagi membantu siasatan. Analogi swimming pool agak kurang tepat digunakan untuk kes ini.
“Ada masa kita bangkang dan ada masa kita bertenang buat sementara. Bersama kita lahirkan komedian di Malaysia mempunyai pemikiran yang cerdas tanpa melanggar batas dan ada kelas yang tersendiri,” tambah Shahrol.
Afdlin yang sebelum ini tidak bersetuju kelab berkenaan ditutup sementara waktu dan perlu terus beroperasi seperti biasa berikutan permasalahan berlaku membabitkan individu yang melakukan kontroversi dan tiada kena-mengena dengan tempat itu sebagai platform ketengahkan bakat pelawak.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 54 saat yang menunjukkan seorang wanita yang mendakwa dirinya beragama Islam serta sudah menghafal 15 juzuk al-Quran, sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.