Hiburan
"Ada Orang Panggil Saya Leina Hangit, Leina Suam Suam Kuku" - Leina Hangat Masih Aktif Menyanyi
Bintang sensasi era 1990-an, Leina Hangat mendedahkan dia masih aktif sebagai penyanyi dan penghibur.
Semenjak berhijab lebih 10 tahun yang lalu, Leina atau nama sebenarnya, Nor Azlina Abdul Rahman, 48, tidak pernah berehat dari bidang seni.
"Saya masih aktif dalam bidang seni. Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran menyanyi tetapi kurang muncul di kaca televisyen sahaja.
"Mungkin atas sebab itu, orang ingat saya dah bersara. Semenjak berhijab, rezeki itu sentiasa ada tetapi saya lebih memberikan fokus kepada keluarga," kata Leina yang popular dengan lagu Ceria Dalam Gundah.
Pernah digelar artis sensasi dan terkait dengan beberapa kontroversi di zaman kegemilangannya, Leina mengakui keunikan nama popularnya membuat dia dikenali sehingga kini.
"Memandangkan saya sudah berhijab, ada yang tidak mengenali saya. Bila saya kata nama saya Leina, ada yang tanya, Leina mana ni?
"Bila saya sebut nama Leina Hangat, orang terus tangkap nama itu. Nama terbabit melekat hingga sekarang.
"Ada juga yang bergurau, panggil saya Leina Suam Suam Kuku, Leina Hangit, tapi saya tak kisah.
"Bila saya nak cakap nama Leina Hangat tu, sejujurnya saya segan, lebih-lebih lagi di zaman sekarang, tetapi nama itu yang orang kenal sehingga kini," katanya lagi.
Leina ditemui di acara pelancaran busana jenama Munawwareen 2020 di spa BaliThai, Jalan Tengah, Kuala Lumpur.
Acara terbabit memperkenalkan koleksi terkini jenama yang diasaskan oleh pengarah urusan mereka, Hajah Aliza Abu Bakar dan ia turut dihadiri ramai selebriti seperti Rohana Jalil, Syafie Naswip, Raja Afiq, Salwa Abd Rahman, Ayu Damit dan ramai lagi.
Munawwareen 2020 menampilkan rekaan fesyen berkualiti dan busana muslimah serta helaian jubah eksklusif yang sangat selesa untuk wanita di luar sana.
Untuk sebarang informasi lanjut, singgah ke butik Munawwareen di No 72, GF, Jalan Wangsa Delima, Pusat Bandar Wangsa Maju atau layari laman Instagram @munawwareen.
Must-Watch Video