Penyanyi latar popular Bollywood, Shreya Ghoshal teruja untuk menyanyikan lagu-lagu berbahasa Melayu sempena konsertnya di Kuala Lumpur bulan hadapan.

Jelas Shreya, dia akan memanfaatkan peluang bersama-sama peminatnya nanti untuk memberikan persembahan yang istimewa.

"Saya ada sebulan setengah lagi untuk berlatih menyanyi lagu-lagu berbahasa Melayu dan sudah tentu sekiranya diberikan peluang saya akan cuba.

"Harap-harapnya nanti tidak akan menghampakan peminat saya di Malaysia," katanya menerusi sesi Skype bersama media baru-baru ini.

Shreya bakal mengadakan konsert pertamanya di Malaysia pada 23 Februari depan di Plenary Hall, KLCC menerusi Shreya Goshal Live in Concert.

Shreya, 36, merupakan penyanyi playback di India yang popular dalam pelbagai bahasa dan dialek termasuk Hindi, Tamil dan Benggali.

Sepanjang kerjaya selama 10 tahun, Shreya pernah dicalonkan sebanyak 494 kali dan memenangi lebih 150 anugerah termasuk National Film Awards dan Kerala State Film Awards.

Permulaan karier Shreya menerusi filem pecah panggung Devdas pada tahun 2002 dan pernah beberapa kali dinobatkan Penyanyi Playback Wanita Terbaik.

Penonton akan berpeluang mendengar untaian lagu daripada filem popular antaranya Chikni Chameli (Agneepath), Dola Re Dola (Devdas), Deewani Mastani (Bajirao Mastani), Teri Meri (Bodyguard) dan banyak lagi!

Tiket Shreya Goshal Live in Concert berharga RM150, RM250, RM450, RM600, RM1,000 dan RM1,500 sudah mula dijual hari ini menerusi www.myticket.asia.