Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ada Surat Doktor, Sajat Dakwa Tak Sihat Bukan Sengaja Tak Hadir Mahkamah

Mya Amri
24/02/2021 23:55 MYT
Usahawan terkenal Nur Sajat menjelaskan dia tidak berniat untuk mengelak hadir ke mahkamah sebaliknya terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan.

Sajat mendakwa dia mempunyai alasan kukuh tidak menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya di mahkamah pada 23 Februari lalu dan mempunyai surat doktor sebagai tanda pengesahan.

“Saya tak sihat, muka dan anggota badan saya tiba-tiba menjadi bengkak akibat alahan makanan. Surat pengesahan doktor pun saya ada kalau tidak percaya,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Sajat, mahkamah telah menetapkan tarikh baharu pada 1 Jun depan berikutan ketidakhadiran anak guamnya.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat susulan dia gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Dalam pada itu Sajat juga meluahkan rasa hairan mengapa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) masih belum memberi dan menghantar laporan penuh berhubung pertuduhan yang dibuat ke atasnya.

Menurutnya, hal itu berlaku sejak 23 Februari 2018.

Disebabkan perkara itu juga, Sajat menyatakan rasa tidak puas hati selain mengaku masih trauma dengan apa yang terjadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat Jais bulan lalu.

Sajat menjelaskan, dia berasa seperti dibuli kerana mendakwa tidak diberikan hak sebagai rakyat negara ini.

“Kalaulah saya mengelak dan mahu lari, lebih baik terus pindah luar negara terus. Buat apa saya beri kerjasama selama ini?

“Terus-terang, saya tak takut, tetapi lebih kepada sedih dan kecil hati diperlakukan sebegitu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat susulan dia gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Sementara itu, menurut laporan portal Berita Harian Online, Jais masih lagi menunggu waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam terhadap Nur Sajat sebelum mengambil tindakan susulan.

Menurut jurucakap Jais, pasukan penguat kuasanya akan menangkap Nur Sajat untuk dibawa ke mahkamah bagi proses perbicaraan selepas menerima waran berkenaan.

"Kami jangka waran itu akan diterima hari ini. Sebaik terima waran itu, kita akan usaha cari dan tangkap Sajat.

"Setakat ini, kita masih menunggu waran itu," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, BH Online, Malaysia Kini

Foto: Utusan - Zulfadhli Zak / Instagram nur sajat



#Nur Sajat #Mahkamah #Usahawan Kosmetik
;