Hiburan
Ada Wanita Mahu Berkenalan, Tapi Saya Nak Fokus Jaga Ibu - Roslan Shah
Selebriti serba boleh, Roslan Shah enggan memikirkan soal jodoh walaupun sudah memasuki usia 46 tahun.
“Ada juga wanita yang mahu berkenalan dengan saya tetapi saya masih belum terbuka hati. Saya enggan memikirkan soal isteri.
“Buat masa ini, fokus saya adalah untuk menjaga ibu yang kurang sihat. Biarlah saya mendahulukan ibu terlebih dahulu kerana dia adalah nyawa dan syurga saya.
“Bagi saya, jika ada jodoh nanti, pasti akan datang juga. Buat masa ini, saya merasakan biarlah jodoh datang sendiri, Insya-Allah,” kata Roslan kepada Astro Gempak.
Menjaga ibunya, Mariam Kari, 80 yang kini sedang sakit tua, Roslan lebih banyak menghabiskan masa di Singapura berbanding Malaysia.
“Saya kini menjaga dan menguruskan ibu di Singapura. Saya masih aktif mengambil tawaran persembahan tetapi hanya pada hujung minggu kerana ketika itu, ada kakak yang membantu menjaga ibu.
“Saya ada juga mendapat beberapa tawaran tetapi saya terpaksa tolak kerana waktu yang kurang sesuai. Apa-apapun, ibu menjadi keutamaan saya.
“Saya tak kisah menolak tawaran kerana saya sayangkan ibu saya. Bukan mahu tunjuk baik, tetapi telah menjadi kewajipan bagi seorang anak untuk menjaga ibu yang sedang sakit.
“Selagi ibu saya masih ada, saya tidak akan berhenti menjaganya kerana dia merupakan insan yang melahirkan saya,” katanya ketika ditemui di sidang media Tanjung Bidara Beach Resort Fiesta 2017.
Menerusi acara tersebut yang bakal berlangsung pada 30 Disember 2016 sehingga 1 Januari 2017 ini, Roslan akan bertindak sebagai pengacara majlis.
Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk pengunjung antaranya booth jualan, sukan air seperti jet ski dan banana boat, pertandingan karaoke, peraduan media sosial, kosert secara unplugged oleh Ayda Jebat, Sheeda Dangdut dan Tia Jinbara serta persembahan bunga api.
Untuk keterangan lanjut, hubungi 013-3446707 dan 019-2528468 atau layari laman Instagram @tbbr_fiesta.
Teks oleh: Kamaruddin Razal