Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ada Yang Gelar Satelit” - Pernah Diejak Telinga Capang, Afiq Hamidon Tak Ambil Pusing!

Asraf Aided
18/11/2021 06:46 MYT
Pemenang tempat keempat Hero Remaja 2021, Afiq Hamidon mendedahkan pernah diberi gelaran tertentu oleh rakan-rakan disebabkan bentuk telinga yang capang.

Bagaimanapun, Afiq tidak mengambil serius tentang usikan sebegitu dan terus membina keyakinan dalam dirinya.

"Terima sahaja badan kita, jangan dengar cakap orang, dari segi badan, setiap orang dilahirkan berbeza, itulah yang membuatkan kita unik.

"Keunikan itulah yang buat kita istimewa dan bagi saya, ia meningkatkan keyakinan diri.

"Sebelum ini pun, saya pun sudah diberi 'nickname' oleh kawan-kawan, ada yang gelar satelit sebab telinga saya capang, tapi saya faham itu semua gurauan, dan kalau ada tak bergurau pun saya tak ambil serius," katanya.

Tambah Afiq, dia yakin bahawa tiada siapa yang betul-betul ambil peduli terhadap kekurangan tubuh atau fizikal orang lain.

Justeru, dia menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai satu kelebihan.

"Pernah dahulu saya tak terima tentang tubuh saya tapi selepas sekian lama, tiada siapa yang kisah sebenarnya.

"Dari situlah saya belajar untuk terima diri sendiri, dan gunakan sebagai satu 'senjata'," katanya lagi.

Hero Remaja 2021 menyaksikan Mierul Aiman sebagai juara yang membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta selempang dan trofi.

Tempat kedua hingga keempat pula jatuh kepada Aqil Taqee, Fazziq Muqris dan Afiq.

Pada masa sama, Aqil turut dinobatkan sebagai Hero Inspirasi manakala Syazani pula dinobatkan sebagai Hero Favourite.
#Hero Remaja #Afiq #Telinga Capang
;