Penyanyi Wany Hasrita terkilan dengan sikap segelintir pihak yang menjadikan kes bunuh diri di sebuah pusat beli-belah di ibukota sebagai satu jenaka.

BACA: Lelaki Maut Terjun Tingkat Tiga Suria KLCC

Kata Wany, orang ramai seharusnya lebih sedar, peka dan sensitif terhadap isu bunuh diri dan depresi, bukannya menjadikan ia bahan di media sosial khususnya.

"Saya baru sempat nak scroll news, terbaca tentang kes bunuh diri di KLCC yang terjun dari tingkat 3. Ia sangat menyentuh hati kerana depresi ini wujud.

"Kesedaran tentang kesihatan mental dalam kalangan kita perlu ada. Jika ada kawan dan keluarga yang dah lama tak berhubung, hubungi semula tanyalah khabar mereka sebab kita tak tahu apa yang mereka simpan fikirkan atau sedihkan. Ada orang tak cerita, ada suka simpan.

"Lagi satu saya rasa masih ada lagi segelintir kita yang tak sensitif tentang isu macam ni. Ada yang make fun katanya 'fuhyoo pilih kat tempat KLCC'. Tapi kita doa agar dia diberikan kefahaman.

"Semua orang pun buat silap tapi kita kena mula ambil berat dan lebih sensitif isu macam ini," pesannya.

Selain itu, tegas Wany, warganet juga harus lebih bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan visual yang tidak ditapis di media sosial kerana hal terbabit boleh mengguris hati keluarga dan kenalan mangsa.

"Saya juga nak ingatkan jangan sebarkan gambar atau video yang tak censored! Cuba kita bayangkan kalau kena dekat orang yang kita kenal, kita mesti tak nak juga kan gambar sebegitu tersebar.

"Saya doakan korang supaya diberikan kesihatan mental dan fizikal, kekuatan dan segala semua yang baik untuk korang. Semoga Allah jaga," ujar Wany lagi.

Semalam, orang ramai dikejutkan dengan kes seorang lelaki yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Kejadian ngeri itu mengundang pelbagai reaksi dari pengguna di media sosial.