Penyanyi dan bintang program Akademi Fantasia musim kedua (AF2) mengatakan ada segelintir golongan muda yang tidak mengenalinya dan beberapa bintang AF 2 yang lain.

Menurut Bob, ekoran perkara itu, dia dan rakan seperjuangan AF 2 yang lain seperti Adam, Linda Nanuwil, Zahid dan ramai lagi ingin mengadakan konsert reunion AF 2 tidak lama lagi.

"Saya rasa terkilan apabila ada golongan yang tidak tahu saya dari AF2 dan ada yang tidak mengenali kami (bintang AF2), mungkin disebabkan ada di antara kami yang jarang membuat kemunculan.

"Sebab itulah kami ingin mengadakan konsert ini, supaya kami dapat mengumpulkan kembali peminat kami di zaman AF2 dan memberi pendedahan kepada yang tidak mengenali kami.

"Semoga segala urusan dipermudahkan dan saya berharap agar konsert ini mendapat sambutan yang positif," tuturnya menutup bicara.

Bob berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Reunion AF2 petang semalam.

Konsert itu akan menampilkan 12 bintang AF2 yang bakal membuat persembahan, namun tarikh dan lokasinya masih belum ditetapkan buat masa ini.