Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Ada Yang Tulis Nama Badang, Superman, Batman” - Orang Ramai Diminta Tulis Nama Betul Sebelum Masuk Premis

Azwa Rahman
18/05/2020 09:08 MYT

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan terdapat pengunjung premis tidak menulis nama dan nombor telefon sebenar sebelum memasuki sesebuah premis.

Memetik laporan Astro Awani, ada di antara mereka menulis pelbagai nama samaran bahkan ada yang meletakkan nama Badang, Superman dan Batman.

Tindakan itu bakal mengundang kesukaran kepada pemilik premis untuk menghubungi pelanggan sekiranya kes positif COVID-19 dikesan di premis mereka

“Kita dah putuskan bahawa hanya perlu nama dan nombor telefon kerana tujuan jika berlaku apa-apa, katakan ada positif COVID-19, kita boleh hubungi mereka yang meninggalkan nombor telefon dan yang datang ke premis tersebut.



“Tapi saya difahamkan ramai orang tak beri nama yang betul, tak beri nombor telefon betul. Dia tulis sendiri, ada tulis nama dia Badang, Superman, Batman, macam-macam. Jadi kalau jadi apa-apa, tak boleh nak hubungi dia.

“Sebab itu ada sesetengah premis mungkin meminta nama kad pengenalan supaya nama sebenar boleh diketahui. Jadi saya harap pengunjung premis perniagaan tulis nama dan nombor telefon sebenar,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Orang ramai diminta beri kerjasama untuk menulis nama betul dan mengamalkan penjarakan sosial apabila keluar.

Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!

Sumber: Astro Awani


#Gaya Hidup #Ismail Sabri #Norma baru
;