Setiap kali perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka orang ramai pasti mengharapkan kehadiran moratorium.

Malah, sejak semalam sudah ada beberapa pihak yang mendesak moratorium dilaksanakan semula susulan PKP 3.0.

Namun, nampak gayanya hasrat itu agak samar-samar untuk perkenalkan apabila Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus memberitau moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan dilaksanakan.

Menerusi laporan Berita Harian, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bagi membantu peminjam, bank akan terus menawarkan bantuan bayaran balik kepada pelanggan yang memerlukan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan terkini itu.

Katanya, moratorium pinjaman automatik bukannya penyelesaian terbaik untuk semua peminjam ketika ini kerana yang diperlukan adalah bantuan pembayaran balik dan nasihat yang tepat daripada bank mengikut keperluan spesifik peminjam.

"Bukan penyelesaian terbaik (moratorium menyeluruh automatik) untuk semua.

“Mereka (peminjam) perlu menghubungi bank bagi membolehkan institusi perbankan dapat menawarkan produk yang betul dan memberi nasihat yang tepat bagi memenuhi keperluan sebenar peminjam,” katanya.

Tambahnya, walaupun PKP 3.0 diperluaskan ke seluruh negara, namun hampir semua sektor ekonomi masih beroperasi berbanding PKP pertama tahun lalu.

"Bank akan terus menawarkan pelbagai bantuan pembayaran balik. Ia akan diteruskan untuk segelintir pelanggan yang memerlukan bantuan susulan pelaksanaan PKP 3.0,” katanya.