Selepas membuat keputusan untuk mengenakan hijab sepenuhnya, pelakon Hannah Delisha mengakui tidak mudah baginya untuk kekal istiqamah dengan imej tersebut.

Pun begitu, Hannah, 27, menjelaskan dia enggan untuk menghakimi beberapa rakan selebriti wanita lain yang sebelum ini pernah mengenakan hijab dan kemudian mengambil keputusan menanggalkanya.

"Bukan tempat saya untuk menghakimi mereka yang membuat keputusan tidak lagi bertudung kerana kita hanya manusia biasa yang mana iman turun dan naik.

"Sudah lumrah sebagai manusia, adakalanya iman kita turun dan berkurang yang mana saya pun pernah mengalaminya.

"Contohnya ketika penggambaran di luar, nampak orang pakai 'dress' dan rambut mengerbang, terkenang sebelum bertudung dulu. Rasa seperti seronoknya kerana tidak panas.

"Jadi apabila berdepan dengan momen sebegitu, saya pilih untuk tidak berfikir mengenainya. Ini keputusan yang telah dibuat dan harus diteruskan," katanya dalam satu temubual bersama Hlive.

Dalam masa sama, aktres berkenaan menjelaskan dirinya kini lebih memahami makna sebenar ungkapan ‘semoga istiqamah’ yang pernah ditinggalkan netizen sebelum ini pada posting selebriti yang sudah pun berhijrah.

“Sebelum berhijab ada nampak komen sebegitu (semoga istiqamah), saya kurang memahami maksudnya. Apabila diri sendiri yang melaluinya, baru saya mendalami komen itu.

"Mudah diungkapkan namun bukan mudah untuk dilakukan. Jadi apabila saya sudah bertudung, baru saya memahami maksud komen itu. Istiqamah itu ternyata bukan mudah," kata Hannah.

Imbas kembali pada September 2020, Hannah berkongsi mengenai sebab dirinya mengenakan tudung menerusi satu video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.

Untuk info, Hannah telah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Imam Shah. Namun ia telah mengejutkan ramai apabila keduanya secara tiba tiba mendedahkan mengenai perkahwinan mereka di laman media sosial masing-masing pada 18 Februari 2021.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.