Masuk minggu kelima Rahim nampak sangat memberi berbanding minggu-minggu sebelumnya. Ramai yang memuji lakonannya yang lebih bersahaja di pentas Sepahtu Reunion Live 2020 berbanding pada minggu awal.

Bertemu dengan Rahim, dia mengucapkan rasa syukur kerana peminat sudah boleh nampak perubahan tersebut, namun di sebalik perkara tersebut sememangnya ada banyak perkara yang mungkin tidak ramai yang tahu.



"Kadang-kadang kita terpaksa mengikut watak dan watak tersebut menuntut saya mungkin untuk nampak lebih serius. Yang keduanya bila live show ini ada ketikanya kita 'buntu' dan tercari-cari apa yang perlu dilakukan selepas itu.

"Mungkin ramai yang tak tahu, Sepahtu Reunion ni ada masanya di saat-saat akhir sebelum siaran langsung pun ada pertukaran watak. Kadang-kadang kita dah buat semuanya, tapi kemudian kita rasa watak ini lebih sesuai dengan orang ini, jadi kita tukar. Benda-benda belakang tabir macam tu mungkin ramai yang tak faham, tapi itulah antara cabaran-cabaran yang perlu kita lalui.

"Saya secara peribadi pun dapat rasa bila habis setiap episod sama ada kita puas atau tidak dengan apa yang telah kita berikan. Apa yang penting adalah kami semua sememangnya nak berikan yang terbaik pada setiap persembahan," kata Rahim kepada Gempak.



Tambah Rahim lagi, dia bersyukur peminat Sepahtu Reunion masih memberi sokongan yang padu biarpun dalam keadaan yang agak sukar sekarang ini.

"Saya tak mahu jadi radio rosak untuk mengulang-ulang betapa pentingnya penonton di dalam studio kepada kami untuk mendapatkan jiwa daripada gelak ketawa mereka, tetapi itulah. Janji kami sebelum naik ke pentas adalah memberikan yang terbaik.



"Ini risiko yang kami ambil apabila buat rancangan secara langsung. Macam berniagalah, ada hari-hari kita untung, ada hari-hari kita rugi. Tapi siapa yang nak rugi, kan! Jadi kami bagi semangat antara satu sama lain, dengan sokongan pihak produksi, team belakang tabir dan tentunya penonton di rumah, kami lakukan bersungguh-sungguh," kata Rahim mengakhiri bicara bersama Gempak.

Sepahtu Reunion Live 2020 boleh anda saksikan secara langsung setiap hari Khamis, jam 9:00 malam di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Anda juga boleh strim On Demand menerusi aplikasi Astro GO, Astro PVR Box atau Ultra Box. Ketahui lebih lanjut di sini.