“Sebagai manusia, saya sendiri perlu ada awareness dengan apa yang ingin dikongsikan kepada orang luar dan media sosial”.

Demikian kata-kata penyanyi Misha Omar mengenai pendapat peribadinya terhadap perkongsian yang ingin dimuat naik di laman sosial kepada umum.

Kata Misha, sekiranya ada perkara yang tidak perlu dikongsikan, dia memilih untuk menyimpan secara peribadi sahaja.

“Mana yang boleh saya diamkan, saya akan diam dan mana yang boleh dikongsi akan saya kongsikan.

“Sudah pasti apa yang dikongsikan akan menerima feedback daripada peminat, pastinya ada yang positif dan ada juga yang negatif. Untuk itu saya perlu bersedia sebagai seorang public figure.” katanya.

Misha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Senandika: Bercakap Seorang Diri tulisan Maliah Surip baru-baru ini.

Melanjutkan bicara, pelantun lagu Sampai Bila itu tidak menafikan adakala dirinya menjadi tidak kuat sehingga mengganggu keadaan mental terhadap komen nakal yang dilemparkan netizen.

Bagaimana pun, dia memilih untuk melawan dan bangkit daripada keadaan tersebut.

“Saya tidak nafikan ada kalanya saya tak kuat dengan kecaman dan mental saya koyak sehingga mengganggu makan dan tidur, itu yang membimbangkan saya.

“Rasa sakit hati dikecam itu ada, namun tidaklah ia berlarutan. Bagaimana pun saya yang perlu membangunkan diri sendiri.

“Saya juga merasakan industri kini semakin matang tentang hak kebebasan seseorang itu. Menghormati pendapat orang lain bukan bermaksud perlu menerima.

“Media sosial boleh meludahkan segalanya, untuk ditelan dan menjadi racun, tidak saya benarkan. Walaupun orang berhak kata apa sahaja, tetapi pada akhirnya hanya saya yang mengerti diri sendiri.

“Saya tidak perlu disayangi semua orang, segelintir sahaja sudah cukup,” tambahnya.

Senandika: Bercakap Seorang Diri merupakan sebuah buku hasil tulisan Maliah Surip menceritakan pengalamannya melalui General Anxiety Disorder (GAD) dan Major Depressive Disorder (MDD) sejak tahun 2019.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli Senandika : Bercakap Seorang Diri, anda boleh terus ke laman Facebook dan Instagram @MaliahSurip atau juga di kedai-kedai berikut; Dapur Jendela, Setia Tropika, Johor Bahru (Instagram @dapurjendela) atau Amatarin Store, Jalan Dhobby, Johor Bahru (Instagram @amatarin.store) atau CORM. Jasin, Melaka (Instagram @cormisme).