Penyanyi Haqiem Rusli bakal merealisasikan hasratnya dengan menganjurkan konsert secara maya
pada 2 April depan.

Menurut Haqiem, disebabkan pandamik yang melanda negara, dia memilih untuk mengadakan konsert mengikut norma baharu.

"Tak dapat buat konsert skala besar besaran untuk peminat secara normal, saya akhirnya dapat cetus idea melaksanakannya secara maya.

"Dalam tempoh sebulan bersama pasukan saya melakukan sesi percambahan media, kita sepakat teruskan konsert cara norma baharu ini," katanya.

Mengulas mengenai konsert, Haqiem memaklumkan dia dijangka menyanyikan sekitar 10 buah lagu.

"Selain lagu sendiri, saya juga teruja nak menyanyikan dua buah lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza secara medley. Dua lagu berkenaan ialah Cindai dan Nirmala.

"Tak ketinggalan lagu sendiri termasuk sebuah karya yang tak pernah saya lancarkan di mana mana platform pun," ujarnya.

Ulas Haqiem lagi, tiket dijual pada harga yang cukup berpatutan.

"Yang beli awal saat ini, harga tiket dalam RM59. Nanti kembali kepada harga biasa RM79.

"Saya harap konsert ini akan terus jadi saksi menghubungkan diri ini dengan peminat tersayang.

"Yang nak dapatkan tiket boleh beli di pautan profil Instagram saya," katanya yang turut mencipta lagu Sejarah untuk Lah Ahmad.

Terdahulu, kali pertama Haqiem Rusli mengadakan konsert sulungnya adalah pada Oktober tahun 2019 di sebuah premis acara di Cheras.

Malah, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian edisi ke 33 itu pernah mensasarkan untuk mengadakan konsert keduanya di usia 23 tahun yang jatuh 2021.

Konsert berdurasi sejam lebih yang akan berlangsung pada 2 April depan itu anjuran syarikat rakamannya, FMC Music dan YTJT Production