Pelakon Adam Corrie akui terkejut apabila tersebarnya berita dari sebuah laman blog yang mengatakan dirinya sudah meninggal dunia.


Berita yang didakwa tular sejak beberapa hari itu secara tak langsung membuatkan Adam, 55, menerima panggilan telefon dan mesej daripada kenalan yang terkejut dengan laporan tidak benar itu.

“Dalam dunia maya ni. Orang suka buat content pelik-pelik untuk raih view. Berita palsu.. Alhamdulillah saya masih benyawa.

“Semalam ramai betul ‘tag’, mesej dan telefon untuk tanya betul ke saya sudah meninggal dunia? Ada juga kata bapa saya dan bapa mentua saya yang meninggal.

“Kalau betul (dirinya sudah meninggal dunia), tak adalah saya jawab panggilan telefon dan balas mesej,” tegasnya.

Adam yang merupakan seorang pelakon berbangsa cina dan mualaf itu meluahkan perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Menerusi hantaran yang sama dia memuat naik paparan skrin yang menunjukkan berita palsu mengenai kematiannya.

Kata pelakon filem KL Gangster lagi, bapa dan bapa mentuanya sudah lama meninggal dunia.

“Mendiang bapa saya sudah lama meninggal. Sudah 14tahun. Manakala bapa mentua saya pula sudah 4 tahun meninggal,” maklumnya.

Menurut Adam lagi dia percaya pemilik laman blog berkenaan sengaja menyiarkan berita sebegitu atas tujuan untuk menarik perhatian pembaca selain mahu menaikkan jumlah pengikutnya.

“Saya percaya mereka yang buat berita sebegini hanya untuk meraih jumlah pembaca dan mahu naikkan pengikut mereka tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain.

“Doa baik-baik untuk semua,” tambahnya.

Dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya menarik nafas lega apabila Adam tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul dan mendoakan agar pelakon itu sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah cuma berita palsu. Ramai peminat terus mendoakan agar abang Adam terus panjang umur bersama keluarga dan kekal bahagia sehingga ke syurga,” kata seorang lagi pengikutnya.

Ini bukan pertama kali, berita palsu kematian selebriti tersebar. Antara artis yang pernah mengalami perkara yang sama adalah Sherli Merlis, Datuk Aaron Aziz, Ezad Lazim, Datuk Sri Siti Nurhaliza dan ramai lagi.