Hiburan
Adam Izzy Yakin Tak Bersalah
Mengumpul pengalaman dalam industri serta pengetahuan dalam bidang muzik menjadi bekalan sebelum membuat keputusan bergelar penyanyi.
Bakat baharu Adam Izzy berkata, menyedari persaingan yang perlu dihadapi, dia mengambil langkah termasuk mengumpul duit dan membeli kelengkapan berkiatan penerbitan muzik bagi memastikan dirinya faham secara menyeluruh berkaitan bidang yang diceburi.
"Saya kumpul duit sedikit demi sedikit dan beli peralatan berkaitan serta belajar mengenai muzik supaya saya lebih faham.
"Saya juga belajar di YouTube dan banyak bertanya kepada rakan dan orang berpengalaman mengenai bidang ini," katanya.
Bagi Adam, 27, penerimaan baik single Bahasa Inggerisnya tahun lalu memberikan semangat untuk muncul dengan karya terbaru Tak Bersalah yang dilancarkan Jumaat lalu.
Bekas penyampai Hitz FM ini juga berharap single terbaharu ciptaan Omar K bersama Ikhwan Fatanna dan dirinya sendiri diterima baik oleh peminat industri muzik tempatan.
"Saya berharap Tak Bersalah yang mempunyai sentuhan Pop RnB ini sesuai dengan halwa telinga semua. Dalam lagu ini pelbagai emosi dikongsi.
"Lagu ini juga menceritakan seorang lelaki yang mempertahankan dirinya dan yakin kebenaran akan terbukti akibat salah faham," katanya mahir bermain piano.
Lagu Tak Bersalah yang mempunyai lirik dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris ini boleh didengari di semua platform digital dan muzik video ditonton di YouTube Adam Izzy.
Adam berkata, dia juga selesa menyanyikan lagu Bahasa Melayu kerana memang mempunyai kawan serta peminat yang menyokong kerjaya muziknya.
"Bila saya keluar dengan single Bahasa Inggeris tahun lalu berjudul Dying Inside, memang ada yang cadangkan saya nyanyikan lagu Melayu.
"Setelah berbincang dengan pengurusan dan rezeki dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Omar membuatkan saya bersemangat," katanya.
Adam bermula di pentas komersial menerusi iklan beberapa jenama ternama sejak kecil sehingga dewasa.
Malah dia juga diberi kepercayaan mengendalikan beberapa acara antarabangsa sebagai pengacara serta kempen yang dijalankan.
Berkenaan persaiangan dengan ramai bakat baharu sedia ada, Adam berkata, dirinya hadir dengan bakat yang ada untuk dikongsi dengan peminat industri muzik tempatan.
"Saya mahu memeriahkan industri dan pada masa yang sama menjual bakat saya. Saya percaya ada yang akan menyokong usaha ini.
"Masing-masing pasti ada citarasa muzik dan saya kongsikan apa yang saya ada untuk anda semua," katanya.
Adam juga rajin membuat 'cover' lagu-lagu popular di laman YouTube miliknya dan pernah mendapat pujian dari penyani tersohor seperti Faizal Tahir.