Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

At-Adau, Alena Murang Hangatkan Rainforest World Music Festival 2021

Fiza Kamarudin
18/06/2021 06:40 MYT
Kumpulan muzik etnik dari Sarawak, At Adau bakal menghangatkan Rainforest World Music Festival (RWMF) 2021 yang akan berlangsung secara virtual mulai hari ini hingga Ahad.

Selain itu, penyanyi dan pemain Sape, Alena Murang yang memperjuangkan lagu berbahasa Kelabit turut menghangatkan lagi RWMF 2021.

Menariknya para penonton diajak menghayati kegemilangan muzik dunia dengan “BEBAS, TERPESONA, TERUJA” (ENTRANCED, LIBERATED, IMMERSED) di rumah sendiri, tanpa sebarang kos.

Selain At Adau dan Alena Murang, RWMF 2021 juga akan dihangatkan dengan persembahan barisan pemuzik lain antaranya Kemada, Sang Rawi, Tuku Kame, Suk Binie', Nading Rhapsody dan Mathew Ngau serta imbasan persembahan muzik daripada acara pada tahun-tahun sebelumnya.

RWMF 2021 boleh ditonton di laman web https://virtualrwmf2021.xpoexpo.com bermula hari ini jam 6 petang hingga 7.30 malam.

Lembaga Pelancongan Sarawak berkata Rainforest World Music Festival 2020 telah ditangguhkan akibat Covid-19 dan acara maya pada tahun ini merupakan acara pendahulu kepada RWMF 2022.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengharapkan RWMF dapat mengubat kerinduan para peminatnya.

“Rainforest World Music Festival 2020 telah ditangguhkan akibat Covid-19 tetapi tahun ini kami bercadang menganjurkan acara maya bagi mereka yang merindukan keseronokan dan kemeriahan RWMF saban tahun, sambil menjadi acara pendahulu kepada RWMF 2022.

“Saya percaya bahawa tema RWMF 2021 – Bebas, Terpesona, Teruja – menggambarkan semangat RWMF secara keseluruhan dan kami berharap dapat menganjurkan Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 yang dijadualkan pada 17-19 Jun 2022,” tambah beliau.

Untuk pengalaman yang lebih menarik, para penonton boleh memesan makanan kegemaran dan menjamu selera di rumah menerusi Grab, platform penghantaran makanan rasmi RWMF.

Para penonton juga boleh memesan cenderahati edisi terhad seperti kemeja-T dan pelitup muka kain untuk meraikan pengalaman maya RWMF pertama mereka menerusi Shopee, platform e-dagang rasmi RWMF. Shopee juga akan menyiarkan RWMF 2021 di salurannya yang tersendiri iaitu, Shopee Live.

Semasa disiarkan dalam talian, penonton berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, beg berisi cendera hati, baucar diskaun untuk hotel, dan banyak lagi.

Mereka juga boleh menonton acara ini di TVS, stesen TV Sarawak khusus di Astro (Saluran 122) dan rakan penyiaran rasmi RWMF.

Untuk maklumat lanjut RWMF 2021, layari laman web rasmi dan daftar untuk menikmati pengalaman maya yang sungguh menarik ini!
#Alena Murang #At Adau #Rainforest World Music Festival 2021