Penyanyi yang juga pelakon popular, Adibah Noor antara selebriti yang rajin memuat naik status di Twitter termasuk membalas komen netizen di media sosial itu.

Dalam satu entri terbaru, dia berkongsi perihal ‘haters’ yang sering bersikap memberikan komen negatif terhadap golongan artis.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian peminatnya adalah Adibah tidak hanya berdiam diri ketika berdepan situasi sedemikian.

Dia sebaliknya melihat profil ‘haters’ berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Bila haters datang singgah dambakan perhatian, saya akan tunaikan atas dasar simpati. Saya tengok profile masing2. Oh... betapa indahnya madah dlm profile diri.

“Slave of Allah lah, life is this and that lah, bae/mommy/daddy/hubby/wifey to lah,” katanya.

Namun, apa yang Adibah lakukan ada dia hanya senyum, menggelengkan kepala dan seterusnya ‘block’ akaun haters itu.
Tindakannya itu mendapat sokongan daripada peminat dan netizen di media sosial termasuk segelintir daripada mereka mahu selebriti itu mengabaikan ‘haters’.

“Hahaha.. haters gitu x membawa kesan positif dlm hidup kita pun kak diba.. bior je la diorang tu.. nak publisiti murahan kot dr kak diba,” kata @dhiaqamarina.

Teks oleh: Elrafaei Sapi