Adik kepada aktres Ha Ji Won, Jeon Tae Soo dilaporkan meninggal dunia akibat depresi.

Berita itu disahkan oleh syarikat pengurusannya, Haewadal Entertainment.

Menurut syarikat pengurusannya, Tae Soo sedang menjalani rawatan depresi di sebuah pusat pemulihan.

“Jeon Tae Soo meninggal dunia pada 21 Januari di usia 34 tahun. Dia sudah lama menderita penyakit kemurungan dan sedang menjalani rawatan pemulihan.

“Kondisinya juga semakin baik dan baru-baru ini juga pihak kami dan Tae Soo berbincang untuk dia membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan.

“Sehinggalah kami menerima berita yang mengejutkan. Keluarga dan teman rapatnya juga terkejut sebaik sahaja mendapat tahu mengenai perkara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, upacara pengebumian Tae Soo diadakan secara tertutup atas permintaan keluarganya.

Ha Ji Won atau nama sebenarnya Jeon Hae Rim telah membatalkan semua kerjanya untuk menguruskan pengebumian adik kesayangannya itu.

Upacara penghormatan itu hanya dihadiri oleh keluarga dan teman rapat sahaja.

Tae Soo sebelum ini dikenali menerusi lakonannya dalam drama popular Sungkyunkwan Scandal, All My Love dan It's Okay, Daddy's Girl.

Sumber: Allkpop