Pelakon dan pelawak Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah meluahkan rasa rindu kepada ibunya yang sudah meninggal dunia.

Menerusi entri di Instagram (IG), Enot berkongsi sekeping foto ibunya sempena menyambut ulang tahun kelahirannya ke-40 semalam.

"Assallamualaikum, Alhamdulilah 3 Disember 2018 genaplah usia saya 40 tahun, bersyukur pada Allah kerana masih diberi peluang bernafas diatas dunia ni.

"Semoga tahun ni Allah tambahkan rezeki saya berlipat kali ganda, tambahkan kebahagian pada saya, berikan kejayaan hidup pada saya, smoga apa yang saya hajatkan akan termakbul.

"Ajal, jodoh, maut semua ditangan Allah saya berserah. Al-Fatihah untuk mak yang telah melahirkan saya didunia ni! Thank You mak Adik rindu mak sangat-sangat.

"Semoga mak ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Doakan adik dipermudahkan segala-galanya didunia ini.

"Ingatan adik kat mak tak pernah hilang walaupun sesaat sentiasa ada dihati adik. Terima kasih banyak-banyak mak. Adik sayang mak dunia dan akhirat! Amin," tulisnya.

Menerusi ruangan komen rata-rata berharap agar Enot tabah meneruskan kehidupan dan mereka juga mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki.