Kisah seorang gadis yang terpaksa meredah hujan untuk menghantar pesanan makanan mengundang sebak dalam kalangan netizen.

Namun, apa yang membuatkan ramai tersentuh adalah baju hujan yang dipakai itu dibuat oleh ayahnya sendiri menggunakan plastik sampah.

Kisah gadis dikenali sebagai Murnie berusia 20 tahun ini viral apabila dia memuat naik gambar menerusi satu posting di Twitter.



Menceritakan kepada Gempak, Murnie berkata, ayahnya terdetik untuk menghasilkan baju hujan daripada plastik sampah untuk mengelakkan dirinya daripada kesejukan.

"Awalnya cari baju hujan tapi tak jumpa, itu yang abah tanya tak basah ke baju nanti. Lepas tu dia tergerak nak buatkan baju hujan daripada platik sampah.

"Sebenarnya memang segan pakai baju hujan tu yelah siap berhenti tiga lampu isyarat.

"Menangis sambil bawa motor, sambil hujan. Tapi saya nampak semangat ayah saya berniaga, itu yang saya teruskan, niat nak bantu keluarga je.

"Ayah saya pun bukan sihat macam dulu lagi, dia ada sakit buah pinggang dan terpaksa jalani dialisis. Jadi saya ambil semangat dia tu untuk terus cekal," katanya.

Tambahnya. perniagaan warisan aneka sup dan soto ayahnya yang terletak di Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah Johor itu sudah lama diusahakan sejak dia berada di tingkatan tiga.

"Dulu kawasan kampung je, buka khemah lepas tu barulah ada naik taraf now kami duduk dekat kabin.

"Kiranya dah lima tahun juga la kami berniaga sebenarnya. Saya memang simpan hasrat untuk buka cawangan satu Malaysia dan ada kedai sendiri dalam tempoh 5 tahun akan datang," katanya.

Jelasnya, dia tidak menyangka posting berkenaan viral selepas dia memuat naik gambar berkenaan.

"Bila saya baca komen satu-satu saya tak sangka sampai ada yang sponsor baju hujan yang tebal sikit.

"Tapi ada juga yang cakap guna plastik sampah ni memamg dulu-dulu orang guna. Tapi mostly ramai bagi kata semangat." katanya.