Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Adinda Allahyarham Ustaz Haron Din, Datuk Seri Abu Hassan Din Al- Hafiz Meninggal Dunia

Mya Amri
01/05/2019 03:10 MYT
Bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 72, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi tadi menurut laporan Awani.

Menurut anak lelakinya, Mohamad Yusri Abu Hassan, Allahyarham meninggal dunia selepas terjatuh ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.

Mohamad Yusri berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah di Kampung Batu Muda dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah.

Dimaklumkan juga segala urusan pengebumian jenazah akan dilakukan di tanah perkuburan terdekat secepat mungkin sebelum solat zohor.

Sebelum itu antara yang terawal memaklumkan berita sedih itu adalah menerusi hantaran dalam laman Facebook oleh pemilik akaun Ustaz Nabil Ahmad.

"Dato Seri Abu Hassan Din al-Hafiz baru sahaja kembali bertemu dengan penciptanya. Ya Allah," tulisnya.

Terdahulu, Nabil turut memaklumkan Allahyarham dikejarkan ke hospital pagi ini selepas rebah dan tidak sedarkan diri setelah solat subuh.

Perkara itu juga dimaklumkan menerusi hantaran dalam laman Facebook Adun Kupang, Datuk Najmi Ahmad, pagi ini.

"Dato Seri Abu Hassan Din al-Hafiz baru sahaja kembali bertemu dengan penciptanya. Ya Allah..."

Allahyarham sebelum ini pernah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Abu Hassan pernah ber­khidmat sebagai Pegawai Agama Istana Negara dan merupakan adik kepada pendakwah terkenal Allahyarham Datuk Dr. Haron Din Al-Hafiz.

Allahyarham juga merupakan bekas imam di Masjid Negara dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa orang Yang di-Pertuan Agong termasuk

Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu Abu Hassan juga aktif berceramah melalui pentas dakwah seperti Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) dan turut terkenal sebagai Ikon Astro Oasis.

Sumber: Astro Awani / Instagram hLive
#Meninggal Dunia #Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din