Adira & Abam Meriahkan Geng UPSR
Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH 29), Adira dan Artis Komedi Popular ABPBH 29, Abam bakal muncul dan memeriahkan lagi musim terbaru Geng UPSR.
Musim kedua drama ulang kaji interaktif UPSR pertama di Malaysia, Geng UPSR akan menemui penonton mulai hari ini (21 Mei 2016), setiap Sabtu, jam 6.00 petang melalui Astro Tutor TV, saluran 601.
Tampil berdasarkan format baharu UPSR yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia tahun ini, adik-adik di rumah berpeluang belajar, berinteraksi dan berhibur sambil mengikuti perjalanan dan pengembaraan sekumpulan murid-murid tahun enam dalam membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan UPSR.
Selain Adira dan Abam, musim kedua drama ini masih mengekalkan wajah-wajah ceria daripada musim pertama seperti Shiekh Baseer, Wafiy, Erissa, Elyn Leong, Danish Zakwan dan Rafael El Arash. Datuk Aznil Haji Nawawi pula akan membuat kemunculan tetap sebagai guru besar pada musim ini.
Dalam pada itu, penyertaan dua pelakon cilik berbakat, Fikry dan Keziah Kaur pasti akan memeriahkan lagi keluarga Geng UPSR.
Drama ulang kaji interaktif UPSR sebanyak 10 episod ini dilengkapi dengan aplikasi Geng UPSR. Ini membolehkan pembelajaran interaktif dilakukan terhadap kesemua subjek secara langsung semasa para pelajar menonton drama bersiri ini di televisyen.
“Kami telah menerima sambutan menggalakkan dan maklum balas positif untuk musim pertama Geng UPSR apabila Geng UPSR mencatat sejarah sebagai rancangan paling banyak ditonton di saluran Astro Tutor TV UPSR sejak saluran dilancarkan.
“Selain itu, jumlah soalan yang telah pun dijawab menerusi aplikasi i-Tutor yang kini dikenali dengan nama aplikasi Geng UPSR tahun lepas, membuktikan bahawa elemen interaktif yang cuba diterapkan ke dalam Geng UPSR berjaya menarik perhatian adik-adik di rumah,” kata Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Vickie Lai.
Jadi, jangan lupa mengikuti Geng UPSR 2 di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601), setiap Sabtu, jam 6.00 petang, bermula hari ini! (21 Mei 2016)